ULAMA Salaf dan kontemporari sentiasa menafikan unsur kejisiman dan kelaziman jisim terhadap zat Allah SWT. FOTO AFP
ULAMA Salaf dan kontemporari sentiasa menafikan unsur kejisiman dan kelaziman jisim terhadap zat Allah SWT. FOTO AFP
Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

Ulama Salaf (ulama terdahulu) sentiasa menafikan unsur kejisiman dan kelaziman jisim terhadap zat Allah SWT. Antara ulama salaf agung yang menolak doktrin Tajsim melalui karya mereka adalah Imam Abu Hanifah dalam kitabnya Al-Fiqh al-Akbar, Imam at-Thahawi dalam Akidah Tohawiyyah, Imam Malik dalam al-Muwattha', Imam al-Syafie dalam al-Wasiyyah dan ramai lagi tokoh yang seangkatan dengan mereka.

Manakala Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari mengarang kitab Al-Luma' dan al-Ibanah untuk menolak fahaman ahli bid'ah termasuklah puak Mujassimah. Yakni golongan yang mengkhayalkan tentang zat Allah SWT. Imam Ibn al-Jauzi juga bangkit menentang doktrin akidah yang menisbahkan fahaman Tajsim kepada Imam Ahmad dalam kitab beliau yang berjudul Daf'u Syubah At-Tasybih.

Imam Ibrahim al-Laqqani di dalam Jauharat al-Tauhid, Imam Abu Bakr al-Razi dalam Syarh Bad'ie Al-Amali, Imam al-Sanusi dalam Umm al-Barahin, Imam al-Nasafi dalamAqa'id al-Nasafiyyah dan ramai lagi yang menentang pemikiran Tajsim.

Tidak ketinggalan juga, Imam Ibn Fauraq yang mengarang kitab bagi menentang fahaman Sifatiah Ibn Khuzaimah dan mazhab Syiah Al-Karamiyyah. Begitu juga dengan Imam at-Thabari yang menolak teori Tajsim Ibn Khuzaimah. Imam al-Haramain turut menentang golongan Mujassimah dalam banyak kitab-kitab beliau. Selepas itu, muncul Imam Al-'Izz bin Abdil Salam, Imam Ibn 'Asakir, Imam Jamal Ad-Din Al-Hushairi dan Imam al-Ghazali juga turut menentang golongan Tajsim di zaman mereka. Manakala Imam Fakhruddin al-Razi tampil membanteras fahaman Tajsim melalui kitabnya Asas at-Taqdis.

Bagaimanapun Syeikh Ibn Taimiyyah al-Harrani mengarang kitab at-Ta'sis bagi menolak kitab Asas at-Taqdis karangan Imam al-Razi secara keras. Pendekatan Syeikh Ibn Taimiyyah dalam memahami nusus mustasyabihat dilihat membuka semula kaedah-kaedah yang boleh membawa kepada fahaman Tajsim. Bahkan kaedahnya banyak mengundang perdebatan terbuka dalam isu-isu asas akidah.

Teori beliau diteruskan pula oleh muridnya, Ibn Qayyimal-Jauziyyah yang mengarang Qasidah Nuniyyah dan kitab Ijtima' al-Juyusyh al-Islamiyyah. Kedua-dua kitabnya ini bukan sekadar mendukung teori Ibn Taimiyyah dan golongan Hanabilah Mujassimah, tetapi mereka turut memperjuangkan doktrin ketuhanan Syeikh Ibn Taimiyyah.

Bahkan Ibn Qayyim al-Jauziyyah membuat penentangan yang keras terhadap doktrin al-Sawad al-A'zham yang dipelopori ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah al-Asya'irah. Malahan dalam sesetengah keadaan, beliau dan pengikutnya menjenamakan fahaman yang dirintis golongan ulama al-Asya'irah (dalam bab mentakwil sebahagian nusus) sebagai golongan al-Jahmiyyah. Yakni salah satu cabang golongan sesat. Nau'zubillah min dzalik.

Selepas itu, muncul pula Imam Taqiyuddin As-Subki yang menentang fahaman Tajsim Ibn Qayyim Al-Jauziyah. Imam Taqiyuddin Al-Husni As-Syafi'e juga mengarang kitab Daf' Syubah Man Syabbah Wa Tamarrad bagi menjelaskan kepincangan unsur mujassimah karangan Ibn Qayyim dan Ibn Taimiyyah al-Harrani.

Demikian juga Imam Fakhruddin As-Syafi'e menentang teori sifat Ibn Taimiyyah dalam kitab beliau Najmu Al-Muhtadi. Kemudian muncul pula pada kurun ke-20, Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari yang berperanan besar dalam membanteras fahaman Tajsim moden secara terang-terangan. Begitu juga dengan Syeikh Yusuf An-Nabhani dan Syeikh Yusuf Ad-Dijwi Al-Azhari. Tidak ketinggalan juga Syeikh Salamah Al-Khudho'ie Al-Azzami yang mengarang kitab Al-Barahin As-Sathi'ah fi Radd Ba'dhi Al-Bida' As-Sya'iah bagi menolak fahaman Tajsim secara ilmiah.

Antara ulama kontemporari yang begitu kuat menentang fahaman Tajsim adalah al-Syahid Syeikh Dr Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Buti, (menerusi kitab as-Salafiyyah), Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari, Syeikh Ali Jum'ah (mantan Mufti Mesir), Syeikh Ahmad Khalili (Mufti Oman), Syeikh Nizham Ya'qubi (Syria), Syeikh al-Sayyid Yusuf Hasyim al-Rifa'ie (Kuwait), Syeikh Hassan al-Saqqaf (Jordan), Syeikh Mahmud Said al-Mamduh (Mesir) Syeikh Sa'id Fuodah (menerusi kitab Al-Kasyif As-Shoghir, Naqd Ar-Risalah At-Tadammuriyyah), Syeikh Dr Umar Abdullah al-Kamil (Naqd Qowa'id At-Tasybih), Syeikh Habib Umar bin Hafidz (Yaman), Syeikh Wahbi Sulaiman al-Ghawiji, Syeikh Dr Adil Azizah al-Kayyali, Syeikh Abdullah Harari, Syeikh Jamil Halim al-Husaini, Syeikh Jamal Sokhor al-Lubnani, Syeikh Khalil Dar'iyyan al-Azhari dan ramai lagi.

Semoga Allah SWT membantu kita memahami akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan cemerlang dan memberi kekuatan untuk bangkit membanteras penyelewengan fahaman sesat dari persada pemikiran Islam kontemporari. Aamiin.

Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 7:00 AM