SAIFUDDIN pada Majlis Apresiasi Anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting (APBSP) di ibu negara. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
SAIFUDDIN pada Majlis Apresiasi Anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting (APBSP) di ibu negara. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan tiga tindakan utama iaitu mewujudkan undang-undang baharu, kajian akta lapuk dan penubuhan institusi penguatkuasa baharu untuk meningkatkan keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sedang mengusahakan rang undang-undang baharu berkaitan keselamatan siber serta kajian semula terhadap Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298).

"Rang undang-undang siber negara sedang dalam pembikinan oleh kementerian dan KDN juga sedang membuat kajian semula terhadap Akta 298 yang setakat ini belum pernah dipinda.

"Melalui pindaan akta ini, perluasan kuasa akan diberikan kepada pelbagai agensi bertanggungjawab. Tidak boleh lagi hanya satu agensi saja diberikan kuasa, kena ada pelbagai agensi untuk menguatkuasakannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting 2023, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KDN Datuk Ruji Ubi dan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali.

Saifuddin berkata, pihaknya juga akan memberi tumpuan dalam aspek hukuman memandangkan kadar hukuman bagi akta berkenaan sudah tidak relevan.

"Kita juga akan memasukkan sasaran penting dalam akta ini. Semua masih dalam peringkat perbincangan," katanya.

Mengulas mengenai agensi tunggal sempadan negara (SBA), beliau berkata, ia direalisasikan untuk memastikan sistem penyampaian di pintu sempadan yang cekap tanpa sebarang proses merumitkan.

"Kewujudan SBA juga untuk memastikan aspek koordinasi yang baik di sempadan serta bertujuan untuk mengukuhkan integriti pegawai.

"Kita berharap keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri ini juga melalui satu arah tuju dan keputusan yang betul," katanya yang memaklumkan pelaksanaan SBA akan bermula pada suku pertama tahun depan.

Sementara itu, sebanyak 29 instalasi sasaran penting terbabit dan dinilai tahap pematuhan terhadap aspek tadbir urus, keselamatan fizikal, keselamatan dokumen, keselamatan peribadi dan keselamatan maklumat dan teknologi (ICT) dalam majlis berkenaan.

Objektif penganjuran majlis itu adalah untuk menilai dan mengukur prestasi penyampaian sistem pengurusan keselamatan perlindungan di instalasi sasaran penting pada tahap yang cemerlang.

Ia juga bagi memberi pengiktirafan ke atas tadbir urus keselamatan perlindungan sasaran penting yang terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 5:07 PM