RAFIZI Ramli. FOTO MOhamad Shahril Badri Saali
RAFIZI Ramli. FOTO MOhamad Shahril Badri Saali
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Ekonomi memaklumkan sedang meneliti dan memperhalusi langkah untuk menggubal akta berkaitan Anti Rent-Seeking.

Menterinya Rafizi Ramli berkata, ini termasuklah mengenalpasti punca, isu, cabaran dan masalah rent-seeking (budaya Ali Baba) sejak sekian lama, skop atau bidang kuasa yang akan diberikan kepada agensi pelaksana, prosedur melaksanakan kawal selia dan penguatkuasaan, implikasi kewangan dan tadbir urus perkhidmatan.

"Kerajaan kini sedang dalam proses untuk melaksanakan kajian bagi menyediakan kerangka Akta Anti Rent-Seeking. Proses penyediaan draf akta ini akan dilaksana dengan mendapatkan input daripada pelbagai stakeholder (pemegang taruh).

"Tujuannya adalah bagi mendapatkan perspektif yang jelas isu berkaitan rent-seeking kerana isu ini merentasi pelbagai sektor serta tindakan undang-undang yang bersesuaian," katanya dalam jawapan bertulis semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) mengenai status perancangan dalam merangka undang-undang anti ali baba, tindakan undang-undang bagi kesalahan ini dan rasional untuk memperkenalkannya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, objektif bagi kajian ini adalah bagi memberi gambaran terperinci berhubung rent-seeking serta tindakan yang perlu diambil untuk memperkukuhkan aspek penguatkuasaan.

"Akta Anti Rent-Seeking akan turut memperincikan tafsiran rent-seeking serta peringkat aktiviti yang terlibat, aspek-aspek pelanggaran, saluran aduan dan liabiliti yang timbul," katanya.

Menurutnya, Akta Anti Rent-Seeking ini dicadangkan kerana kerajaan mendapati pada masa ini belum wujud undang-undang yang dapat membendung isu rent-seeking secara menyeluruh dan berkesan.

Beliau berkata, akta sedia ada iaitu Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, Akta Persaingan 2010, Akta Syarikat 2016 serta undang-undang kecil sedia ada masih tidak mencukupi untuk membendung aktiviti rent-seeking.

"Kerajaan juga mendapati perlakuan atau aktiviti rent-seeking boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi dengan meningkatkan kos operasi, menjejaskan kualiti produk dan perkhidmatan serta melebarkan jurang ketidaksamaan dalam masyarakat atau ekonomi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 10:20 AM