Aizat Sharif

Kangar: Barisan Exco kerajaan Perlis yang baharu dijangka akan menampilkan komposisi tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Pas termasuk Menteri Besar dan tiga dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis.

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata, berdasarkan ketetapan yang sudah diputuskan, jumlah berkenaan adalah Adun yang bakal membarisi Exco negeri Perlis serta akan mengangkat sumpah di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Jumaat ini.

"Kita akan terus mengekalkan portfolio yang sama seperti kerajaan terdahulu untuk barisan Exco ini.

"Barisan Exco yang baharu ini juga dijangka akan turut dibarisi oleh Adun muda yang mampu memberikan idea baru dan lebih segar dalam memantapkan pentadbiran kerajaan Perlis yang baharu dan khidmat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Kompleks Dun Perlis, Persiaran Wawasan, di sini hari ini.

Katanya, dalam perkembangan lain juga, berdasarkan nasihat daripada Raja Perlis, pihaknya akan cuba meneruskan projek pembangunan yang dimulakan oleh kerajaan terdahulu.

"Saya hendak ucapkan terima kasih kepada kerajaan sebelum ini yang banyak juga meninggalkan projek pembangunan yang Insya-Allah, saya akan cuba teruskan sebaik mungkin.

"Projek yang sudah dimulakan, kita tidak akan merancang yang baharu sebelum kita meneliti dan menyelesaikan apa yang sudah dirancang," katanya.

Mohd Shukri, 61 menjadi Menteri Besar pertama dari gabungan Perikatan Nasional yang mentadbir Perlis buat julung kalinya sejak merdeka selepas gabungan itu berjaya memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Sabtu lalu.

Kejayaan itu juga sekaligus menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri itu yang sudah mentadbir Perlis sejak 65 tahun lalu.

MOHD Shukri. FOTO Bernama
MOHD Shukri. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 7:35 PM