Pemandangan bandaraya Kuala Lumpur.
Pemandangan bandaraya Kuala Lumpur.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia menyeru agar Majlis Perniagaan EU-ASEAN (EU-ABC) bekerjasama dengan lebih erat untuk meneroka potensi penuh negara ini serta rantau yang lebih luas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menegaskan Malaysia kekal teguh dalam komitmennya untuk memastikan ia terus menjadi negara yang mesra perniagaan dengan lebih kepastian, akauntabiliti, kecekapan dan ketelusan dalam inisiatif dan dasar-dasarnya.

"Saya ingin tekankan bahawa Malaysia komited ke arah melaksanakan segala mungkin untuk pemulihan ekonomi yang lebih pesat, melalui pelan dan dasar negara yang dirancang dengan teliti termasuk Bajet 2022, Rancangan Malaysia ke-12, Aspirasi Pelaburan Nasional dan MyDIGITAL.

"Peruntukan kerajaan untuk tahun ini berjumlah RM332.1 bilion (US$75.4 bilion), yang terbesar dalam sejarah negara bertujuan untuk menyokong pemulihan ekonomi berikutan pandemik, melalui tiga tonggak utama iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan," katanya semasa Majlis Makan Malam Gala AGM Majlis Perniagaan EU-ASEAN dengan kerjasama EUROCHAM Malaysia di sini semalam.

Ucap tama Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Ismail Sabri berkata walaupun terdapat kesan pandemik, perdagangan dua hala antara Malaysia dan EU kembali pulih tahun lepas.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan EU meningkat 26 peratus kepada RM180.2 bilion (US$43.5 bilion) pada 2021.

"Tidak dinafikan lagi, EU kekal sebagai rakan dagangan penting kepada Malaysia," tegasnya.

Menyentuh mengenai Strategi Kerjasama EU di Indo-Pasifik, Ismail Sabri berkata Malaysia mengalu-alukan inisiatif Suruhanjaya Eropah untuk melibatkan rantau Indo-Pasifik dalam mewujudkan perkongsian yang lebih inklusif, pelbagai serampang dan mantap antara EU dan rantau itu, melalui strategi berkenaan.

"Rangka kerja strategik itu akan bertindak sebagai pemangkin untuk memulihkan ekonomi di rantau ini.

"Selain itu, ia akan mengukuhkan pasaran ASEAN yang terletak di persimpangan interaksi ekonomi global, sambil berfungsi sebagai pintu masuk utama bagi perniagaan untuk memasuki pasaran Indo-Pasifik," katanya.

Mengenai hubungan ASEAN-EU, beliau berkata sebagai rakan strategik kepada ASEAN, Malaysia optimis EU akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan rantau ini termasuk terus menyokong Wawasan Komuniti ASEAN 2025.

"Meskipun terdapat kesan buruk daripada pandemik itu, EU terus menjadi antara rakan perdagangan dan pelaburan terpenting ASEAN. Dengan jumlah perdagangan sebanyak US$220.9 bilion dicatatkan pada 2020, EU adalah rakan perdagangan ketiga terbesar ASEAN," katanya.

Perdana Menteri turut yakin kerjasama erat antara kerajaan Malaysia dan perniagaan EU akan terus membantu negara ke arah pemulihan ekonomi yang kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 1:56 PM