Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pemilik rumah yang membina struktur tambahan secara haram di Blok 4, Flat UTM di AU3/1 di sini, berputih mata apabila ia dirobohkan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada minggu lalu.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam satu kenyataannya, semalam berkata, pihaknya mengambil tindakan penguatkuasaan di blok berkenaan pada 25 Mei lalu.

Menurutnya, tindakan itu diambil berikutan kesalahan penghuni flat terbabit membina struktur tambahan tanpa kebenaran MPAJ.

"Tindakan bersepadu ini membabitkan Jabatan Bangunan dan Senibina serta Jabatan Penguat Kuasa MPAJ.

"Tindakan notis dan roboh serta-merta dilaksanakan berdasarkan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133) berikutan tambahan struktur baharu di tepi dan belakang tidak dibenarkan bagi bangunan kediaman bertingkat," katanya.

Menurut kenyataan itu, kediaman berstrata seperti flat, apartmen dan kondominium terikat dengan Akta 757 iaitu lot petak hanya terhad kepada keluasan petak dibeli sahaja.

"Sayang apabila rumah ditambah sebenarnya tidak dibenarkan mengikut Akta 133 dan Akta 757.

"Kesannya, MPAJ terpaksa memainkan peranan sebagai PBT untuk merobohkan struktur tambahan haram yang nyata menggunakan ruang harta bersama yang bukan hak mutlak pemilik tetapi dikongsi secara bersama," katanya.

Katanya, membina struktur tambahan tanpa kebenaran akan memberikan pelbagai implikasi terutama aspek keselamatan pemilik kediaman dan penghuni lain.

"Isu keselamatan penduduk berhampiran kawasan itu juga diambil kira sekiranya struktur rumah itu kelak mengganggu kerja menyelamat daripada pihak bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang malapetaka seperti kebakaran dan sebagainya," katanya.

Terdahulu, tular beberapa gambar membabitkan kerja meroboh dilaksanakan di kawasan flat di kawasan Ampang.

Sebelum ini, isu sama menjadi perbualan hangat netizen membabitkan sebuah rumah pangsapuri di sekitar Taman Datuk Harun, Petaling Jaya yang membina struktur tambahan haram.

PBT merobohkan struktur binaan tambahan secara haram di Blok 4, Flat UTM di AU3/1 pada 25 Mei lalu.
PBT merobohkan struktur binaan tambahan secara haram di Blok 4, Flat UTM di AU3/1 pada 25 Mei lalu.

Media turut melaporkan maklum balas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam satu kenyataan sebagai dipetik berkata, pihaknya memandang serius kerja ubahsuai kediaman.

"MBPJ juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemilik rumah yang melakukan pengubahsuaian tanpa mendapat kelulusan.

"Pada masa sama binaan tambahan dan struktur binaan dibina boleh dirobohkan kerana tiada kelulusan.

"Tindakan mengubah suai rumah tanpa kelulusan bakal mendatangkan pelbagai risiko tidak diingini, sekali gus mengganggu ketenteraman awam dan akan menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 7:05 AM