LANTIK perunding atau arkitek untuk menyediakan lukisan reka bentuk atau lakaran kasar.
LANTIK perunding atau arkitek untuk menyediakan lukisan reka bentuk atau lakaran kasar.
Muhamaad Razis Ismail


SETIAP individu pasti teruja sebaik memperoleh kunci rumah selepas sekian lama menanti untuk memiliki rumah sendiri.

Antara perkara pertama yang sering dilakukan pemilik rumah adalah melakukan pengubahsuaian untuk mengetengahkan konsep diidamkan.

Tidak kurang juga, ada yang membuat binaan tambahan kepada struktur bangunan asal untuk meluaskan ruang.

Persoalan timbul, adakah menjadi satu kesalahan dari sudut perundangan sekiranya seorang pemilik rumah mengubah suai dan membuat binaan tambahan jauh serta berbeza daripada struktur bangunan yang sedia ada?

Kerja ubah suai ini bermaksud satu kerja pembinaan, perubahan dan tambahan yang dilakukan ke atas struktur bangunan disiapkan dan sedia ada.

Peguam hartanah, Shahranita Saharan berkata, kebanyakan pemilik rumah kurang jelas, kabur dan tiada rasa perlu untuk mengambil tahu berkenaan perkara ini.

Katanya, ada banyak kediaman terutama rumah teres dan bangunan bertingkat atau unit strata seperti flat serta kondominium yang melakukan kerja ubah suai pada struktur bangunan masing-masing tanpa memohon kelulusan bertulis daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ada pemilik rumah yang menganggap perkara ini remeh dan selamat jika secara senyap-senyap mengubah suai dan membuat binaan tambahan kepada struktur bangunan sedia ada tanpa diketahui mana-mana pihak terutama PBT.

"Boleh jadi pemilik kediaman beranggapan bahawa rumah yang didiami sudah dimiliki dan kepunyaan sendiri, jadi tiada salahnya jika ingin membuat perubahan, pengubahsuaian mahupun penambahan kepada struktur bangunan yang sedia ada mengikut kehendak serta kemahuan cita rasa masing-masing," katanya.

Menurutnya daripada sudut perundangan, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya pemilik rumah mengubah suai dan membuat binaan tambahan kepada struktur bangunan asal tanpa kelulusan bertulis daripada PBT.

"Perkara ini jelas dinyatakan mengikut Akta 133 (Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974) di bawah peruntukan Seksyen 70(16).

UBAH suai rumah yang tidak mendapat kebenaran PBT berisiko tinggi (gambar hiasan).
UBAH suai rumah yang tidak mendapat kebenaran PBT berisiko tinggi (gambar hiasan).

"Sebarang kerja pembinaan untuk mengubah suai dan membuat binaan tambahan kepada struktur bangunan yang sedia ada hendaklah mendapatkan kelulusan secara bertulis daripada PBT terlebih dahulu," katanya.

Beliau mengakui masih ramai yang kurang jelas apa yang dimaksudkan dengan PBT.

"PBT di sini merujuk kepada Majlis/Dewan Bandaraya, Majlis Perbandaran dan/atau Majlis Daerah bagi sesebuah bandar raya dan daerah," katanya.

Tambahnya, banyak kes pemilik rumah atau bangunan yang masih tidak menghiraukan peruntukan akta sedia ada ini dengan meneruskan kerja pengubahsuaian dan membina binaan tambahan tanpa kelulusan bertulis PBT.

Katanya, kegagalan pemilik rumah mematuhi akta ditetapkan ini, mereka boleh dikenakan penalti atau denda berkali ganda oleh PBT.

"Kadar penalti atau denda yang dikenakan adalah agak tinggi, sehingga ada PBT yang menetapkan kadar denda 10 kali ganda daripada bayaran wang proses permohonan kelulusan pelan ubah suai mengikut jenis rumah.

JIRAN yang tidak selesa dengan kerja ubah suai boleh menyaman pemilik rumah (gambar hiasan).
JIRAN yang tidak selesa dengan kerja ubah suai boleh menyaman pemilik rumah (gambar hiasan).

"Pada masa sama binaan tambahan dan struktur binaan yang dibina boleh dirobohkan PBT kerana tiada kelulusan," katanya.

Selain itu, pemilik rumah boleh disaman di mahkamah oleh PBT kerana kedegilan meneruskan dan melakukan kerja pembinaan pengubahsuaian tanpa kebenaran.

Malah, pihak ketiga seperti jiran tetangga juga boleh menyaman pemilik rumah di mahkamah kerana melakukan kerja pengubahsuaian ini tanpa kebenaran PBT dari segi keselesaan, keselamatan, struktur binaan rumah, sistem pengairan, lalu lintas dan lain-lain.

Pemilik rumah yang membuat pengubahsuaian sesuka hati dan bersikap sambil lewa tanpa mendapatkan pandangan yang lebih pakar serta tidak memohon kelulusan bertulis daripada PBT boleh mengalami kerugian dari segi kos ubah suai dan penambahan yang dilakukan kepada struktur bangunan, malah turut memberi kesan kepada nilai hartanah itu.

Oleh itu, Shahranita mengingatkan, supaya kerja pembinaan pengubahsuaian tidak dimulakan sebelum suatu kelulusan ubah suai diperoleh daripada PBT terlebih dahulu.

SHAHRANITA
SHAHRANITA

"Pemilik rumah perlu sedar kewujudan peruntukan Seksyen 70, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

"Proses ubah suai rumah ini sebenarnya agak mudah jika kita tahu apa yang perlu dilakukan. Jangan kerana terlalu ingin berjimat, akhirnya kita juga yang terjerat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 7:01 AM