PELAN ubah suai perlu dikemukakan untuk kelulusan PBT.
PELAN ubah suai perlu dikemukakan untuk kelulusan PBT.
Muhamaad Razis Ismail


Kerja pengubahsuaian yang membabitkan penambahan dan perubahan kepada struktur bangunan rumah yang asal dan sedia ada mesti mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ataupun pihak Perbadanan Pengurusan bagi bangunan bertingkat atau unit strata.

Bagaimanapun, kebanyakan pemilik rumah kediaman tidak mengambil berat berkenaan kelulusan yang perlu diperoleh secara bertulis daripada PBT ini.

Kesan yang paling boleh dilihat adalah pemilik rumah dan bangunan ini boleh dikenakan denda atau penalti yang tinggi oleh PBT.

Peguam hartanah Shahranita Saharan, berkongsi antara aspek utama, kaedah dan garis panduan yang perlu diketahui dan diambil kira pemilik rumah dalam memohon serta mendapatkan kebenaran untuk kerja-kerja ubah suai rumah daripada PBT:

 SHAHRANITA
SHAHRANITA

• Pemilik rumah hendaklah mengenal pasti terlebih dahulu PBT yang terbabit sama ada pihak majlis/dewan bandaraya, majlis perbandaran dan/atau majlis daerah di mana kawasan rumah yang ingin diubah suai itu terletak sebelum memohon kebenaran dan kelulusan.

• Permohonan hendaklah dibuat kepada pihak majlis/dewan bandaraya, majlis perbandaran dan/atau majlis daerah di mana kawasan rumah itu terletak mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh PBT berkenaan. Tambahan atau pengubahsuaian adalah tertakluk kepada jenis rumah dan keluasan tambahan binaan mengikut garis panduan ubahsuai yang dibenarkan PBT yang terbabit.

• Permohonan boleh dibuat pemilik rumah sendiri atau melantik wakil yang sah seperti perunding/konsultan atau arkitek yang akan membantu menguruskan permohonan kebenaran untuk mengubah suai bagi pihak pemilik rumah sehingga mendapat kelulusan daripada PBT yang berkenaan

KERJA pengubahsuaian rumah perlu kebenaran PBT.
KERJA pengubahsuaian rumah perlu kebenaran PBT.

• Pemilik rumah perlu mendapatkan kebenaran bertulis atau surat tiada halangan daripada jiran sekiranya kerja-kerja tambahan dan atau ubah suai membabitkan bahagian rumah yang bersempadanan dengan rumah jiran baik di bahagian hadapan, tepi mahupun belakang rumah.

• Pemilik rumah hendaklah melantik perunding atau konsultan atau arkitek untuk menyediakan lukisan rekabentuk atau lakaran kasar bahagian rumah yang hendak ditambah atau diubah suai dan atau pelan ubah suai rumah di mana pelan itu akan dikemukakan kepada majlis/dewan bandaraya, majlis perbandaran dan/atau majlis daerah bagi mendapatkan kelulusan daripada PBT yang berkenaan. Pelan ubah suai yang dikemukakan akan melalui proses semakan/pengesahan sebelum diluluskan PBT yang berkenaan.

• Pemilik rumah atau wakil yang sah hendaklah menyediakan dokumen sokongan selain pelan lakar dan pelan ubah suai seperti salinan perjanjian jual beli rumah, salinan geran atau suratan hak milik, salinan sijil kelayakan menduduki (CF) atau salinan Perakuan Siap dan Pematuhan ('Certificate of Completion and Compliance') (CCC), salinan cukai pintu dan gambar rumah kediaman sedia ada bahagian depan, tepi dan belakang dan surat kebenaran atau tiada halangan daripada jiran untuk dibawa bersama permohonan ke pejabat majlis/dewan bandaraya, majlis perbandaran dan/atau majlis daerah untuk semakan dan syarat yang perlu dipatuhi mengikut jenis rumah yang ingin diubah suai bagi mendapatkan kelulusan untuk mengubah suai.

PENGUBAHSUAIAN tanpa kebenaran berdepan risiko diroboh.
PENGUBAHSUAIAN tanpa kebenaran berdepan risiko diroboh.

• Pemilik rumah atau pemohon hendaklah menyediakan dan menjelaskan bayaran yuran atau wang memproses pelan ubah suai rumah kepada majlis/dewan bandaraya, majlis perbandaran dan/atau majlis daerah bagi mendapatkan kelulusan ubah suai atau kelulusan pelan-pelan bangunan. Setiap PBT mempunyai kadar yang berbeza bagi kos bayaran memproses pelan ubahsuai rumah.

• Sebarang perubahan/ tambahan/ pindaan kepada struktur bangunan yang sedia ada tanpa kelulusan bertulis daripada majlis/dewan bandaraya, majlis perbandaran dan/atau majlis daerah adalah satu kesalahan mengikut peruntukan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang boleh dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya di bawah Akta yang sama.

LANTIK perunding atau arkitek.
LANTIK perunding atau arkitek.

• Pemilik rumah juga perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada majlis/dewan bandaraya, majlis perbandaran dan/atau majlis daerah untuk meletakkan bahan-bahan binaan bangunan seperti tertakluk di bawah Seksyen 42(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974

1) Bagi tujuan kelulusan mengubah suai rumah atau bangunan, pemilik rumah kediaman hendaklah menyediakan sejumlah wang untuk dibayar dan antara kos perkhidmatan atau bayaran kepada majlis/dewan bandaraya, majlis perbandaran dan/atau majlis daerah yang perlu disediakan untuk kelulusan ubah suai rumah adalah seperti berikut:-

2) Bayaran yuran atau wang memproses pelan ubah suai rumah tertakluk kepada keluasan tambahan atau ubah suai rumah.

3) Bayaran permit meletak bahan binaan yang ditetapkan PBT yang berkenaan;

4) Bayaran deposit pelan sebagai cagaran kepada pelan ubah suai rumah bagi memastikan kerja-kerja pembinaan pengubahsuaian atau tambahan adalah mengikut kelulusan dan garis panduan PBT yang berkenaan.

5) Bayaran deposit permit bahan binaan sebagai cagaran kepada kerja-kerja pembinaan pengubahsuaian atau tambahan dan tempat letak bahan binaan yang dibenarkan

6) PBT yang berkenaan berhampiran rumah yang diubah suai; dan

7) Bayaran deposit tong roro iaitu perkhidmatan sewa dan penggunaan tong sampah yang disediakan PBT yang berkenaan bagi membuang sisa bahan-bahan binaan ketika proses ubah suai dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 6:10 AM