Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Kota Setar hari ini, susulan peningkatan jumlah mangsa banjir di daerah itu.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Suka Menanti dibuka pada 6 petang tadi untuk menempatkan 16 mangsa daripada enam keluarga, dan menjadikan keseluruhan 93 mangsa di Kota Setar.

Setakat 8 malam, mangsa banjir di tiga daerah di Kedah mencecah 337 orang yang membabitkan 92 keluarga dan ditempatkan di empat PPS.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, PPS SK Langgar di Kota Setar menempatkan 77 mangsa (22 keluarga) berbanding 63 mangsa (18 keluarga) pada 4 petang.

"Seramai 222 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah di Pendang, berbanding 207 mangsa pada 4 petang, manakala PPS di Pokok Sena kekal dengan 22 mangsa daripada lapan keluarga," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan di kawasan terjejas banjir.

Sebahagian mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Rakan Sukan Tanah Merah, Pendang. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Sebahagian mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Rakan Sukan Tanah Merah, Pendang. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 10:47 PM