Johor Bahru: Pesakit kanser pangkal hidung yang juga isteri jurugambar sambilan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, hari ini.
Siti Arziah Ismail, 61, disahkan meninggal dunia jam 5 petang, akibat sel kanser sudah merebak ke seluruh organ.
Suami Allahyarham, Baazlan Ibrahim, 63, berkata, beberapa hari lalu, Siti Arziah sempat menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).
"Bagaimanapun, pagi tadi isteri diserang sawan sebelum dikejar ke HSA.
"Dia pergi dengan tenang, arwah akan dikebumi esok di Tanah Perkuburan Islam di Danga berikutan cuaca kurang baik hari ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pada 26 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan
Siti Arziah yang juga pekerja swasta tidak menyangka kerap selsema, kemerahan pada mata kiri dan hidung berdarah adalah simptom kanser pangkal hidung tahap tiga.
Arwah hanya mengalami simptom berkenaan bagi tempoh singkat sebelum disahkan menghidap kanser pada September lalu dan doktor juga mengesan ketumbuhan di hidungnya.