Mohd Amin Jalil

Seremban: Kadar tarif air di negeri ini perlu disemak berikutan situasi sukar dihadapi oleh industri bekalan air bukan saja di Negeri Sembilan malah di seluruh negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kos daripada industri yang menyokong sistem bekalan air di negeri ini naik beberapa kali tetapi tarif air tetap sama sejak lebih 20 tahun lalu.

"Kos seperti bekalan elektrik, bahan digunakan untuk merawat air, aktiviti penyelenggaraan serta pembaikan sistem agihan air meningkat dengan ketara.

"Selain itu, gaji pekerja dalam industri air juga perlu dinaikkan sejajar dengan imbuhan diterima pekerja dalam sektor lain.

"Kerajaan negeri memohon pengguna memahami situasi sukar yang sedang dihadapi oleh industri bekalan air bukan saja di negeri ini tetapi di seluruh negara," katanya selepas merasmikan Hari Alam Sekitar Negara 2023 Peringkat Negeri Sembilan, di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, di sini, hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. FOTO Arkib NSTP
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. FOTO Arkib NSTP

Aminuddin berkata, kali terakhir tarif air domestik dinaikkan di Negeri Sembilan pada 2002 manakala kos bagi merawat dan membekalkan air bersih kepada pengguna ketika ini adalah sebanyak RM1.05 untuk setiap liter padu.

Beliau berkata, pengguna domestik hanya dikenakan caj 55 sen bagi setiap 20 liter padu.

"Tarif air di Negeri Sembilan adalah antara yang terendah di negara ini dan operator air masih mempunyai hutang dengan Kerajaan Persekutuan.

"Memang masyarakat mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap bekalan air kerana mereka mahu ada air bila buka paip, air itu pula mesti bersih.

"Tetapi industri bekalan air tidak mampu memenuhi jangkaan ini jika ia terus terbeban dengan kekangan kewangan," katanya yang menegaskan kenaikan tarif air itu akan diputuskan oleh Kabinet berdasarkan kajian dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 4:25 PM