GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suraya Roslan


Putrajaya: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH Heavy Engineering Bhd (THHE), Datuk Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti akan menjalani hukuman penjara lima tahun bermula hari ini atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram masing-masing berjumlah RM1.57 juta serta RM1.1 juta.

THHE pernah menjadi syarikat bersekutu Lembaga Tabung Haji.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin memutuskan hukuman terbabit selepas menolak rayuan terakhir lelaki berusia 57 tahun itu.

Vazeer Alam berkata, dapatan Mahkamah Sesyen dan Tinggi terhadap kes itu sebelum ini tidak memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

"Selain itu, hakim bicara mempunyai kelebihan audio dan video dalam membuat penemuan fakta," katanya.

Peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Nor Badli Munwari mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi media.

Nor Badli Munwari dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen yang berjalan serentak bagi tiga tuduhan pecah amanah dan dua tuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi meningkatkan hukuman penjara kepada lapan tahun sebelum Mahkamah Rayuan mengurangkan kembali kepada lima tahun seperti diputuskan Mahkamah Sesyen.

Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah membabitkan tiga cek bernilai RM400,000, RM570,000 dan RM600,000 di pejabat THHE Fabricators Sdn Bhd, Menara UOA, Bangsar, antara April dan Oktober 2013.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Nor Badli Munawir juga dituduh menerima wang tunai RM570,000 dan RM600,000 daripada Pengarah Syarikat Bicara Sepakat Sdn Bhd, Murhasmee Mukhtar di sebuah restoran di Ara Damansara, Petaling Jaya dekat sini, pada 26 Jun 2013 dan 11 September 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 4:23 PM