Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Bekas ketua pegawai eksekutif TH Heavy Engineering (THHE) Bhd iaitu syarikat bersekutu Tabung Haji (TH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lima pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai lebih RM2.5 juta, empat tahun lalu.

Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, dia didakwa sebagai orang yang diamanahkan dengan cek masing-masing berjumlah RM400,000, RM570,000, RM430,000, RM600,000 dan RM575,800 melakukan pecah amanah jenayah terhadap cek berkenaan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat THHE Fabricators Sdn Bhd, Tingkat 23, Tower B, Menara UOA Bangsar di sini, antara April dan Oktober 2013.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah sebelum menetapkan 15 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 12:28 PM
Nor Badli Munawir didakwa di Mahkamah Sesyen atas lima tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan lebih RM2.5 juta. FOTO  Zulfadli Zulkifli
Nor Badli Munawir didakwa di Mahkamah Sesyen atas lima tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan lebih RM2.5 juta. FOTO Zulfadli Zulkifli