Murni Wan Omar dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Pengamal media mula berkumpul di hadapan kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pavillion Residence dan Jalan Langgak Duta susulan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap kesemua tujuh pertuduhan terhadapnya.

Sehingga kini, masih tiada sebarang pergerakan di kedua-dua lokasi berkenaan dan dipercayai beliau sedang menjalani perintah kuarantin berikutan seorang peguamnya didapati positif Covid-19.

Di Pavillion Residence, kenderaan dipercayai membawa isteri bekas Perdana Menteri itu, Datin Seri Rosmah Mansor dilihat keluar dari kediaman terbabit pada 10 pagi.

Kediamannya di Jalan Langgak Duta pula menjadi tumpuan pengamal media. Kawasan kediaman bekas Perdana Menteri itu juga dilihat tertutup.

Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

NAJIB Razak. FOTO NSTP.
NAJIB Razak. FOTO NSTP.

Tiada kehadiran fizikal daripada pasukan pembelaan di mahkamah berikutan mereka termasuk Najib sendiri menjalani perintah kuarantin berikutan salah seorang peguam didapati positif Covid-19.

Keputusan itu dibacakan melalui aplikasi Zoom dengan pasukan pendakwaan berada di dalam dewan Mahkamah Rayuan.

Najib, 68, pada 28 Julai tahun lalu didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana SRC International oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Berita berkaitan

Sabitan, hukuman terhadap Najib kekal

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 11:20 AM