SYED Abu Hussin Hafiz (dua kanan) menyampaikan bantuan tong ikan berinsulasi kepada penerima di Jeti Sungai Kelubong. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
SYED Abu Hussin Hafiz (dua kanan) menyampaikan bantuan tong ikan berinsulasi kepada penerima di Jeti Sungai Kelubong. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bukit Gantang: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menasihatkan pengguna agar tidak terlalu bimbang dengan kenaikan harga ikan di pasaran berikutan perkara itu bersifat sementara disebabkan musim tengkujuh.

Pengerusi LKIM Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kenaikan harga ikan itu disifatkan normal dan tidak seteruk harga ayam yang melambung tinggi.

"Bekalan ikan ini sebenarnya bermusim dan apabila tengkujuh, nelayan tidak dapat turun ke laut dan menyebabkan harga ikan di pasaran naik sedikit.

"Ia perkara normal dan tidak berlarutan seperti kenaikan harga ayam di pasaran pada masa kini.

"Bagi memastikan harga pasaran semasa stabil, kita akan mengeluarkan ikan sejuk beku yang disimpan bagi menampung bekalan ikan semasa," katanya ketika sidang media selepas Program Jelajah Prihatin Nelayan dan Penyerahan Kotak Ikan Berinsulasi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Tinggi di Jeti Sungai Kelubong di sini, hari ini.

Menurutnya, untuk jangka masa panjang, LKIM akan membenarkan eksport ikan dari luar negara dibawa masuk ke pasaran tempatan bagi memastikan bekalan ikan semasa mencukupi.

Ditanya mengenai kenaikan harga barangan dari pelbagai sektor, beliau menegaskan nelayan akan turut menerima tempias khususnya dari segi kemudahan asas dan penyelenggaraan peralatan menangkap ikan.

"Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini semua barangan nampaknya naik dan memang akan ada kesan kepada nelayan dari segi penambahan kemudahan.

"Bagaimanapun LKIM mempunyai peruntukkan bantuan untuk memodenkan kapal dan juga meningkatkan hasil tangkapan.

"Maksudnya semua alat penangkapan ini LKIM ada sediakan bantuan di bawah permodenan bot dan peralatan, nelayan yang ingin memohon sebarang bantuan, boleh berurusan terus dengan PNK masing-masing untuk sebarang permohonan bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 4:51 PM