Oleh Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Pasangan suami isteri warga emas mangsa banjir di Batu 9 Simpang Tiga, Changkat Jong di sini, nekad tidur dalam khemah di tepi Jalan Changkat Jong-Teluk Intan kerana bimbangkan rumah mereka menjadi sasaran penjenayah.

Abdul Mukti Katiman, 72, dan isteri, Saodah Sahdan, 71, berbuat demikian sejak kelmarin bagi mengawasi rumah mereka untuk mengelakkan kejadian pecah masuk dan kecurian.

Menurut Abdul Mukti, pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menasihatkan mereka berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Pasang Tembak.

Namun dia dan isteri berat hati untuk berpindah kerana risaukan keselamatan harta benda dan rumahnya sekiranya ditinggalkan.

"Malam rumah kena banjir, kami tidur di rumah anak berdekatan tapi esoknya saya buat keputusan untuk pulang dan buat khemah.

"Kami diminta berpindah ke PPS, tapi jaraknya agak jauh 14 kilometer dari rumah. Kalau barang-barang dalam rumah hilang bagaimana?

"Biarlah bising lori lalu-lalang sekali pun, yang penting rumah dan harta benda terjaga. Harap banjir ini surut segera," katanya ketika ditemui hari ini.

Mengenai banjir yang melanda petang Isnin lalu, Abdul Mukti berkata air naik begitu cepat sehingga kereta dan perkakas elektrik seperti peti ais dan mesin basuh tidak sempat diselamatkan.

Datuk tujuh cucu itu yang menghidap masalah pundi kencing itu turut hilang punca pendapatan apabila gerai menjual burger miliknya tidak dapat beroperasi kerana dijadikan tempat berteduh.

Sementara itu, Saodah meluahkan harapan supaya pihak berkuasa dapat mencari jalan penyelesaian isu banjir yang menurutnya berlaku setiap tahun dan semakin memburuk.

Dia yang mengidap kanser payudara sejak setahun lalu memaklumkan perlu menjalani pemeriksaan tiga minggu sekali di Hospital Putrajaya, namun kereta milik suaminya kini ditenggelami air.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 2:21 PM
Abdul Mukti dan isteri, Saodah nekad berhujan berpanas dalam khemah di tepi Jalan Changkat Jong-Teluk Intan, bagi mengawasi rumah yang dimasuki air daripada geng pecah rumah. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Abdul Mukti dan isteri, Saodah nekad berhujan berpanas dalam khemah di tepi Jalan Changkat Jong-Teluk Intan, bagi mengawasi rumah yang dimasuki air daripada geng pecah rumah. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.