GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Perjalanan pelajar lelaki ke sekolah berakhir tragedi apabila basikal ditunggangi bertembung kenderaan pelbagai guna (MPV) di Batu 6, Jalan Changkat Jong-Teluk Intan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kandi berusia 14 tahun maut di tempat kejadian akibat parah.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kemalangan membabitkan sebuah basikal dan Perodua Alza dipandu seorang wanita berusia 36 tahun.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa sedang menunggang basikal dalam perjalanan ke sekolah dari rumahnya.

"Setibanya di lokasi kejadian, mangsa tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kanan secara melulu masuk ke laluan Perodua Alza.

"Tindakan itu menyebabkan pemandu itu tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa di bahagian hadapan," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, mangsa tercampak ke tepi jalan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan dan bedah siasat akan dibuat selepas ujian saringan Covid-19.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 5:36 PM