Muhamad Lokman Khairi

Teluk Intan: Seramai 15 penduduk Kampung Batu 9 Simpang Tiga, Changkat Jong di sini, yang dilanda banjir sejak Ahad lalu, sepakat mengawasi 70 kediaman secara bergilir-gilir bagi mengelak dicerobohi pencuri atau geng pecah rumah.

Wakil penduduk, Alias Jamhari, 35, berkata, mereka bekerjasama melakukan pemantauan siang dan malam selepas sebahagian besar penduduk diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Padang Tembak yang terletak sejauh 14 kilometer (km).

Menurutnya, situasi banjir ketika ini adalah yang terburuk pernah dialami di kampung itu selepas air Sungai Sungkai berdekatan melimpah sejak petang Ahad lalu.

"Walaupun pihak berkuasa sudah ingatkan orang kampung untuk mengunci pintu sebelum berpindah, namun pengawasan perlu dilakukan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Kira-kira 15 penduduk sepakat mengambil tanggungjawab sosial untuk memantau 70 rumah yang ditenggelami air," kata bapa kepada lima anak itu semasa ditemui di sini, tadi.

Seorang lagi penduduk, Mohd Ali Omar, 65, berkata, hampir 70 peratus perabot di rumahnya rosak akibat ditenggelami banjir pada waktu malam Ahad lalu.

"Sebaik terjaga dari tidur, saya terkejut apabila mendapati banjir sudah memasuki rumah. Perkakas elektrik seperti peti ais dan almari tak sempat diselamatkan, begitu juga penduduk kampung lain.

"Kebanyakan penduduk kampung di sini bekerja mengambil upah sebagai pengait sawit dan bergantung kepada gaji harian. Kejadian banjir ini menyebabkan kami hilang mata pencarian disebabkan pokok sawit juga tenggelam.

"Setiap tahun kejadian banjir sama berulang dan semakin bertambah teruk. Kami berharap pihak berwajib dapat membantu mencari penyelesaian kepada isu ini supaya tidak berulang," katanya.

Tinjauan wartawan semalam, mendapati kawasan berkenaan masih ditenggelami banjir sedalam hampir 1 meter.

ALIAS Jamhari antara mangsa banjir di Kampung Batu 9 Simpang Tiga, Changkat Jong yang mengambil inisiatif mengawasi 70 buah rumah kosong selepas penduduk diarah berpindah ke PPS. FOTO Muhamad Lokman Khairi
ALIAS Jamhari antara mangsa banjir di Kampung Batu 9 Simpang Tiga, Changkat Jong yang mengambil inisiatif mengawasi 70 buah rumah kosong selepas penduduk diarah berpindah ke PPS. FOTO Muhamad Lokman Khairi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 2:56 PM