Dr Zaliha menyampaikan ucaptama pada majls pelancaran  sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 peringkat kebangsaan dengan tema Kesihatan Mental Milik Semua, Hentikan Stigma di The Curve hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Dr Zaliha menyampaikan ucaptama pada majls pelancaran sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 peringkat kebangsaan dengan tema Kesihatan Mental Milik Semua, Hentikan Stigma di The Curve hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Mahaizura Abd Malik


Petaling Jaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan dua modul untuk melatih anggota kesihatan dan petugas barisan hadapan pelbagai agensi bagi menangani isu kesihatan mental rakyat di negara ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, Modul Latihan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial Semasa Krisis dan Bencana (MHPSS) dibangunkan bagi melatih anggota kesihatan lain seperti pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan dan paramedik di klinik kesihatan seluruh negara.

Katanya, modul itu dibangunkan atas kesedaran mengenai kekangan anggota profesional kesihatan mental terutama ketika bencana pandemik Covid-19.

"Pada ketika ini, sekurang-kurangnya satu pasukan MHPSS diwujudkan di setiap daerah dan setiap hospital.

"Saya mengharapkan dengan pelancaran modul ini dapat mengukuhkan kemahiran pengurusan krisis dalam kalangan anggota kesihatan, sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan mental dalam usaha menjayakan kempen hentikan stigma," katanya pada pelancaran dua modul itu sempena Majlis Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Dr Zaliha berkata, KKM juga membangunkan Training Module on Suicide Prevention First- Line Responders bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan melatih petugas barisan hadapan pelbagai agensi dalam mencegah tingkah laku bunuh diri.

"Modul ini bagi melatih anggota kesihatan, polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), maritim dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam pengendalian kes tingkah laku bunuh diri serta rujukan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya," katanya.

Katanya, KKM akan melaksanakan Kempen Kesihatan Mental Milik Semua, Hentikan Stigma bertujuan meningkatkan literasi kesihatan mental masyarakat dalam usaha untuk menangani stigma dan diskriminasi terhadap individu yang mempunyai masalah kesihatan mental.

"Kempen ini turut merangkumi aktiviti advokasi kesihatan mental kepada masyarakat melalui pelbagai platform termasuk media konvensional seperti televisyen dan radio serta platform digital dan media sosial.

"Pada masa kini, perkhidmatan kesihatan mental disediakan di empat institusi kesihatan mental, 62 hospital, 34 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari), satu rumah jagaan kejururawatan psikiatri dan 1,080 klinik kesihatan di seluruh negara.

"Selain itu, agenda kesihatan mental negara juga terus diperkukuh melalui penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) melalui kolaborasi strategik agensi awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 2:38 PM