Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar tiada membuat permohonan semakan terhadap hukuman mati dikenakan terhadap beliau berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, jika Sirul berhasrat pulang ke Malaysia, dia atau peguam boleh membuat permohonan supaya hukuman mati itu dipinda kepada hukuman lain seperti hukuman pemenjaraan.

Ia selari dengan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan 2023 [Akta 847] yang memberi tempoh selama 90 hari untuk mana-mana pesalah hukuman mati membuat semakan bermula 12 September lalu.

"Sekiranya ini berlaku, barulah Malaysia boleh mengemukakan permohonan ekstradisi untuk beliau menjalani hukuman di Malaysia.

"Malaysia mempunyai perjanjian ekstradisi dan 'Mutual Legal Asistance (MLA) dengan banyak negara termasuk Australia menerusi Mutual Assistance In Criminal Matters Act (MACMA 2002).

"Sirul tidak dapat diekstradisi ke negara ini kerana Australia tidak mengiktiraf dan tidak mengenakan hukuman mati ke atas pesalah jenayah di negara mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara syarat perjanjian ekstradisi terhadap Sirul boleh dilaksanakan adalah kesalahan itu perlu mempunyai 'Dual Criminality'.

"Prinsip 'Dual Criminallity' juga terpakai dalam MLA. Ini bermaksud satu kesalahan mesti menjadi kesalahan jenayah bagi kedua-dua negara yang juga membawa hukuman sama.

"Perkembangan undang-undang terbaru di Malaysia hanya menghapuskan hukuman mati mandatori yang bermakna hukuman mati masih wujud tetapi tidak lagi menjadi mandatori sebaliknya mengikut budi bicara Mahkamah.

"Ekoran perkembangan undang-undang itu, mana-mana pesalah jenayah yang dijatuhi hukuman mati dan masih menunggu proses pelaksanaan hukuman boleh diberi peluang untuk membuat permohonan kepada mahkamah bagi meminda serta merayu kepada hukuman mati," katanya.

SIRUL Azhar Umar dalam temubual bersama AL-Jazeera.
SIRUL Azhar Umar dalam temubual bersama AL-Jazeera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 1:32 PM