PESERTA misi Miles of Smiles menyuarakan bantahan terhadap Israel di depan salah satu bangunan yang dibom tentera Israel di tengah bandar Gaza, semalam. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
PESERTA misi Miles of Smiles menyuarakan bantahan terhadap Israel di depan salah satu bangunan yang dibom tentera Israel di tengah bandar Gaza, semalam. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
Tuan Asri Tuan Hussein


MISI kemanusiaan Milies of Smiles yang membabitkan 41 peserta dari lapan negara berakhir hari ini, dengan sebahagian peserta bergerak ke pintu sempadan Rafah pada jam 9 pagi untuk kembali ke Kaherah, Mesir manakala sebahagian lagi memilih untuk terus berada di Gaza dan melanjutkan khidmat mereka untuk beberapa hari lagi.

Bagi penulis, tempoh lima hari berada di Gaza memang singkat, namun ia memberi 1,000 pengertian dalam menyelami penderitaan rakyat Palestin selain menghadirkan pengalaman rohani yang amat berharga.

Mengimbas laluan untuk masuk ke Gaza, ia dimulakan lebih sebulan lalu selepas menerima undangan daripada Muslim Care Malaysia (Muslim Care) untuk menyertai lima sukarelawan mereka.

Bagaimanapun, misi hampir dibatalkan apabila penganjur memaklumkan nama kami tidak berada dalam senarai yang diluluskan Kementerian Luar Mesir bagi melepasi pintu sempadan Mesir-Palestin di Rafah.

Pada masa sama, Ketua Penyelaras Miles of Smile, Dr Essam Yousef memberitahu pihaknya akan meneruskan usaha mendapatkan kelulusan dan menyerahkan kepada Muslim Care sama ada mahu datang ke Kaherah atau tidak.

Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan kemudian memutuskan untuk pergi ke Kaherah, namun jumlah anggota misi dikurangkan kepada hanya tiga, membabitkan beliau sendiri, Timbalannya, Johari Ismail serta penulis.

PESERTA misi Miles of Smiles menyuarakan bantahan terhadap Israel di depan salah satu bangunan yang dibom tentera Israel di tengah bandar Gaza, semalam. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
PESERTA misi Miles of Smiles menyuarakan bantahan terhadap Israel di depan salah satu bangunan yang dibom tentera Israel di tengah bandar Gaza, semalam. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein

Di Kaherah, nama kami bertiga dan lima lagi peserta hanya mendapat kelulusan daripada Kementerian Luar Mesir kira-kira 12 jam sebelum rombongan bergerak ke Rafah pada 2 Mei lalu.

Selepas menempuh perjalanan selama 16 jam biarpun jarak dari Kaherah ke Mesir cuma lebih kurang 300 kilometer, kami akhirnya tiba di hotel di Gaza pada jam 2 pagi Jumaat, 3 Mei lalu.

Di sebelah petang, bermulalah episod mencemaskan apabila dentuman bom mula menggegarkan bumi Gaza selepas konflik baru tercetus berikutan kematian seorang tentera Israel dalam pertempuran dengan pejuang Palestin di lokasi perhimpunan Great March of Return (GMR) berhampiran sempadan di Malakah.

Episod berbalas serangan serangan antara pejuang Palestin dan tentera Israel berterusan selama hampir 48 jam bermula dari Jumaat malam pada 3 Mei lalu yang berakhir dengan 27 kematian di pihak Palestin dan empat kematian di pihak Israel.

Sepanjang tempoh itu, semua peserta Miles of Smile tidak dibenarkan keluar hotel dan kami melalui pengalaman paling mendebarkan apabila sebutir bom yang dihantar Israel meletup hanya kira-kira 50 meter dari hotel penginapan kami.

Debaran dan kegelisahan yang dirasakan sepanjang tempoh 24 jam itu sukar digambarkan kerana kematian dirasakan sangat hampir, namun pada masa sama ia sebenarnya memiliki hikmah tersembunyi.

Melalui pengalaman itu, kami dapat merasakan sendiri apa yang selama ini dilalui penduduk Palestin - terancam dan terkurung.

Pada Isnin bersamaan 1 Ramadan, sejurus diberi kebenaran keluar daripada hotel, kami berkesempatan melihat dengan lebih dekat bagaimana keadaannya apabila Semenanjung Gaza diserang Israel.

Perasaan bercampur baur antara benci marah dan sedih apabila ada bayi tidak bersalah turut menjadi mangsa, rumah kediaman ranap menyembah bumi manakala kemudahan awam turut rosak.

Semua berlaku menjelang Ramadan di mana lazimnya ketika itu umat Islam di Malaysia sibuk membuat persiapan untuk menjalani ibadah puasa, malah ramai juga yang sudah memikirkan soal kemeriahan Aidilfitri.

Namun, apabila berada di bumi Gaza, soal juadah untuk bersahur, apa menu ketika berbuka dan fesyen apa baju raya tahun ini, itu semua sama sekali tidak difikirkan.

Di antara selang seli dentuman bom yang menggoncang bumi dan berterusan dari siang hingga ke malam, satu-satunya perkara yang mereka fikirkan ialah hidup lagikah aku esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 6:02 PM