Seorang mangsa penderaan diselamatkan Jumaat lalu di sebuah flat di Taman Pulai Jaya di Pulai di sini. FOTO Mary Victoria Dass
Seorang mangsa penderaan diselamatkan Jumaat lalu di sebuah flat di Taman Pulai Jaya di Pulai di sini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kanak-kanak lelaki mangsa penderaan yang diselamatkan di sebuah flat di Pulai di sini Jumaat lalu dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kanak-kanak berkenaan masih mendapatkan rawatan di hospital.

Menurutnya, buat masa ini, polis masih menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.

"Sebarang perkembangan tindakan susulan penahanan dua suspek iaitu bapa mangsa dan teman wanita lelaki itu bakal diketahui petang hari ini mahupun dalam waktu terdekat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dipercayai anak kandung suspek wanita yang tinggal sebumbung dengan mangsa diletakkan di bawah jagaan keluarga.

"Kanak-kanak itu tidak terbabit dengan kes penderaan dan diletak dalam jagaan ahli keluarga," katanya ketika dihubungi.

Semalam, akhbar ini melaporkan kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang menjadi mangsa dera ditemukan tidak bermaya, dibiarkan berbogel dan dikurung dalam tandas rumah keluarganya di Pulai, di sini, Jumaat lalu.

Seorang lelaki berusia 37 tahun dan teman wanitanya ditahan bagi membantu siasatan kes.

Tindakan itu diambil susulan laporan polis yang diterima pada 4.13 petang pada Jumaat lalu.

Pengadu yang juga seorang wanita memaklumkan menerima maklumat bahawa kanak-kanak itu berada dalam bilik air dalam keadaan kurus serta tidak bermaya.

Suspek iaitu bapa dan teman wanitanya berusia 39 tahun ditahan serta direman mulai 13 Oktober hingga 18 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 2:37 PM