Antara lokasi yang ditutup termasuk, Kompleks Gua lkan. FOTO ARKIB NSTP
Antara lokasi yang ditutup termasuk, Kompleks Gua lkan. FOTO ARKIB NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Semua lokasi pelancongan di Kelantan yang berisiko tinggi terhadap gejala cerun runtuh dan kepala air ditutup sementara waktu, bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, tindakan diambil susulan tragedi yang berlaku di Batang Kali.

"Semua lokasi terutama di Jeli dan Kuala Krai ditutup mulai hari ini sehingga diberitahu kelak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Daerah Dabong, Mohd Hariff Ghazali mengeluarkan notis memaklumkan beberapa lokasi di Dabong ditutup serta merta, hari ini.

Katanya, antara lokasi yang ditutup termasuk Kompleks Gua lkan, Lata Kertas, Sungai Kenerong, Pipe Resort Jelawang dan View Point Jelawang.

Menurutnya, notis penutupan selepas arahan Jabatan Kerajaan Tempatan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengarahkan semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi di seluruh negara tutup selama tujuh hari, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau dilapor berkata, arahan sudah dikeluarkan kepada 155 PBT yang turut berlandas ramalan hujan lebat berterusan selama lima hari ekoran Monsun Timur Laut (MTL) dijangka hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 1:37 PM