KEDUDUKAN mangsa yang maut ditemui dalam Op SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali. FOTO Ihsan Grafik oleh JBPM
KEDUDUKAN mangsa yang maut ditemui dalam Op SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali. FOTO Ihsan Grafik oleh JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin


Hulu Selangor: Operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) seorang kanak-kanak lelaki mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, di sini, hari ini, bertumpu di Sektor C (River Side).

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, seramai 70 anggota bomba yang terbabit dalam operasi itu.

"Jumlah kekuatan keseluruhan pasukan SAR adalah 91 orang membabitkan sembilan eskavator dan sembilan anjing unit pengesan (K9).

"Setakat jam 5 petang tadi, purata penggalian setiap sektor melebihi 70 peratus dengan tumpuan diberikan di Sektor C (River Side)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, hasil Op SAR dilakukan, 19 daripada 30 mangsa maut dalam tragedi itu ditemui di Sektor A (Hill View).

"10 lagi mangsa ditemui di Sektor C (River Side), manakala seorang lagi mangsa ditemui di Sektor B (Farm View)," katanya.

Setakat jam 5 petang tadi, Op SAR masih diteruskan sejak dimulakan jam 8 pagi tadi selepas ditangguhkan sementara berikutan hujan, petang semalam.

Semalam, Harian Metro melaporkan jumlah mangsa yang diisytiharkan semula secara rasmi seramai 92 individu daripada jumlah asal dianggarkan 94 individu.

Sebelum ini, polis menganggarkan seramai 94 mangsa terbabit dalam tragedi tanah runtuh berkenaan berdasarkan maklumat daftar masuk yang diperoleh daripada pihak pengurusan tapak perkhemahan terbabit.

Terdahulu, empat mayat terdiri daripada seorang lelaki, seorang wanita serta dua kanak-kanak masing-masing lelaki dan perempuan ditemui jam 11.04 pagi di Sektor C (River Side), di sini, semalam.

Semua mangsa berkenaan ditemui dalam bungkusan khemah pada kedalaman tujuh meter.

Secara keseluruhan, seramai 92 individu terbabit dalam insiden berkenaan dengan 61 mangsa berjaya diselamatkan manakala 30 mangsa disahkan terkorban dengan seorang lagi mangsa masih hilang.

⁃ ends

Keterangan gambar:

1. KEDUDUKAN mangsa yang maut ditemui dalam Op SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali.

From: No'Rule

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 5:50 PM