TANGKAP layar iklan pelaburan palsu yang menggunakan gambar Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. FOTO ihsan Polis
TANGKAP layar iklan pelaburan palsu yang menggunakan gambar Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. FOTO ihsan Polis
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis Selangor menerima laporan berhubung penyalahgunaan gambar Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bagi tujuan pengiklanan skim pelaburan palsu di Facebook, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan dibuat sendiri oleh Abdul Aziz di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, 2.45 petang tadi.

"Siasatan polis mendapati, iklan terbabit menawarkan skim pelaburan saham dan mendakwa pelaburan itu patuh syariah dan keuntungan lebih tinggi.

"Sehubungan itu, siasatan mendapati iklan terbabit adalah palsu dan tiada kaitan dengan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

"Laporan polis juga sudah dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan terperinci," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru itu Hussein menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan di media sosial yang menggunakan individu penting yang menjadi kepercayaan masyarakat sebagai imej sesebuah pengiklanan.

"Orang ramai diingatkan membuat pelaburan di platform sah dan buat semakan di laman sesawang https://www.sc.com.my/investor-alert bagi menentukan kewujudan sesuatu syarikat pelaburan terbabit," katanya.

Tangkap layar paparan iklan pelaburan palsu yang menggunakan gambar Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. NSTP/IHSAN POLIS

From: yue

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 6:13 PM