Ingat, silap labur, duit lebur! - FOTO Hiasan
Ingat, silap labur, duit lebur! - FOTO Hiasan
Nur Amirah Abd Rani

SETIAP individu perlu mempunyai tanggungjawab untuk mempersiapkan diri dengan kewangan yang kukuh ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Senario ini membawa kepada ramai memilih jalan singkat untuk memulakan pelaburan tanpa mengetahui risiko yang bakal dihadapi.

Meski ditawarkan pulangan yang kompetitif berbanding simpanan biasa, ramai tidak tahu bahawa situasi ini hanya indah khabar dari rupa kerana menjadi jerat penipuan pelaburan atau Scammer.

Bermula awal tahun 2020 sehingga 2023, terdapat peningkatan yang amat ketara dari tahun ke tahun berkaitan kes skim penipuan pelaburan dan skim pelaburan tanpa lesen yang mencecah kerugian puluhan ribu juta ringgit dan ada juga yang seluruh simpanan hidupnya hangus sekelip mata. 

Ikuti temubual bersama Pengurus Besar Pejabat Pengguna & Pelabur, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Jawahar Ali Ameer Ali dalam membincangkan peranan SC dalam menangani, mengenalpasti trend dan taktik scammer serta nasihat kepada para pelabur.

1. Apakah peranan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau SC?

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia merupakan badan berkanun yang bertanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia dan antara mandat SC adalah untuk memastikan pelabur Malaysia dilindungi. Dalam hal ini, kami dapat lihat terutamanya dalam tahun-tahun kebelakangan ini, aktiviti pelaburan makin bertambah.

Pada masa sama, kes penipuan pelaburan dan juga aktiviti pelaburan tidak berlesen juga makin bertambah terutamanya ketika waktu pandemik bila ramai duduk rumah, banyak masa lapang dan juga mengalami kekangan kewangan.

2. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh SC dalam membendung penipuan pelaburan dalam negara kita?

Terdapat dua pendekatan utama yang diambil oleh SC dalam menangani isu ini iaitu membendung aktiviti scam menerusi pelbagai tindakan pencegahan dan penguatkuasaan, dan memperkasa pelaburan melalui aktiviti pendidikan pelabur.

Dalam usaha membendung aktiviti scam, SC mengeluarkan notis henti operasi, menyekat laman web terlibat dengan kerjasama SKMM, menyekat akaun media sosial Facebook, Instagram dan Telegram. 

Selain itu, SC juga mempertingkatkan usaha dalam mengemaskini Senarai Peringatan Pelabur untuk membimbing orang ramai untuk mengenal pasti syarikat pelaburan berlesen atau sebaliknya yang mensasarkan kelompok warga emas, golongan B40 bandar, penduduk luar bandar dan kumpulan rentan yang lain. 

Dalam usaha pemerkasaan pelabur, inisiatif yang dilaksanakan adalah menerusi jenama InvestSmart iaitu kempen pendidikan pelabur awam yang diadakan secara tahunan iaitu InvestSmart® Fest di Lembah Kelang, Pulau Pinang dan Kuching.

3. Bercakap tentang scammers, bagaimanakah cara scammers menjerat mangsa?

Melalui pemerhatian, scammer biasanya akan menjanjikan pulangan lumayan dalam masa yang singkat tanpa sebarang risiko.

Kebanyakan skim penipuan pelaburan di promosikan di platform media sosial terutama Facebook dan Telegram dengan menyalahgunakan nama dan logo syarikat untuk menyakinkan pelabur bahawa mereka kononnya berurusan dengan syarikat yang sah.

Untuk menyertai skim yang ditawarkan, pelabur perlu depositkan wang ke akaun bank individu

atau entiti yang tidak berkaitan dan akan memberikan pelbagai alasan ketika pelabur cuba mengeluarkan jumlah keuntungan pelaburan yang dijanjikan.

4. Dari segi pelabur sendiri, apakah yang boleh mereka lakukan untuk memastikan mereka tidak menjadi mangsa penipuan scam? 

Saya ingin berkongsi satu formula yang amat mudah untuk setiap pelabur ingat sebelum melabur.

Formula TIPU: 'T' - tidak akan rugi, 'I' - indah khabar dari rupa, 'P' - peluang hanya sekali dan 'U' - untung besar.

Selain itu, terdapat langkah lain untuk mengelakkan penipuan iaitu berhati-hati dengan skim yang ditawarkan melalui platform media sosial, elakkan mendeposit duit ke dalam akaun bank peribadi, dan pastikan pelaburan dibuat melalui akaun bank rasmi.

Buat semakan Senarai Peringatan Pelabur atau Investor Alert List atau di semak mule. Sekiranya, anda mempunyai keraguan lain, semak dengan SC melalui [email protected] atau hubungi 03-6204 8999. 

5. ​​Nasihat tambahan untuk pelabur?

Pelabur perlu berwaspada terhadap individu mendakwa diri mereka kononnya pakar pelaburan yang menawarkan nasihat atau menggunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu atau mengelirukan seperti selebriti tidak bertauliah atau pempengaruh yang mempromosikan pelaburan yang berjaya.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga sebelum melakukan apa-apa keputusan pelaburan.

Sekiranya pelabur terjerat dengan penipuan pelaburan, jangan panik dan ambil langkah-langkah berikut:

Segera laporkan pada pihak polis dan pihak SCia dan pastikan mangsa menyimpan rekod semua maklumat yang berkaitan dengan pelaburan anda seperti slip pembayaran, resit dan rekod perbualan.

Aduan yang dikemukakan mesti disertakan dengan butiran dan dokumen yang berkaitan.

Butiran lanjut mengenai cara membuat aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di www.sc.com.my

Ingat, silap labur, duit lebur!

Untuk makluman, InvestSmart® Fest 2023 akan berlangsung pada 17 hingga 19 November 2023 di Exhibition Hall 4, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan masuk adalah percuma!

Lebih 500 slot sesi rundingan perancangan kewangan percuma bersama perancang kewangan berlesen disediakan dibawah inisiatif #FinPLan4U.

Di bawah program pemerkasaan pelabur utama InvestSmart®, pameran pemerkasaan pelaburan  InvestSmart® Fest 2023 selama tiga hari ini bertujuan memberi lebih keyakinan kepada pelabur runcit untuk membuat keputusan termaklum apabila melabur dalam pasaran modal. Pelawat boleh mengambil kesempatan ini untuk melengkapkan diri dalam memenuhi matlamat kewangan jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 10:43 AM