Datuk Ras Adiba Radzi
Datuk Ras Adiba Radzi
BERNAMA

Kuala Lumpur: Belanjawan 2024 yang dibentangkan Kerajaan Perpaduan pada Jumaat lepas dilihat berupaya mendaya upaya Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mandiri serta menyediakan akses lebih luas untuk pendidikan awal kanak-kanak.

Presiden Persatuan OKU Sentral Datuk Ras Adiba Mohd Radzi yang menyambut baik belanjawan itu berkata ini dapat dilihat melalui pelaksanaan Program Latihan MADANI merangkumi program latihan semula dan peningkatan kemahiran kepada OKU dan warga emas.

"Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan insentif khas sebanyak RM1,500 sebulan selama enam bulan bagi menggaji golongan rentan seperti OKU adalah antara kelompok yang mengharungi detik-detik kesukaran dalam mendapatkan pekerjaan berkualiti dengan 'gaji bermaruah'," katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Negara (OKU) berkata usaha itu akan membantu OKU untuk mendapatkan pekerjaan setaraf dengan kelayakan diri sekali gus berupaya mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia golongan itu.

Ras Adiba berkata peningkatan kadar elaun pelatih OKU daripada RM150 kepada RM300 sebulan dengan peruntukan sebanyak RM30 juta akan memanfaatkan lebih 18,000 pelatih OKU.

Katanya penyediaan peruntukan RM30 juta untuk membekalkan peralatan sokongan pendidikan khas dan menyediakan kemudahan mesra OKU pula adalah selari dengan Pelan Tindakan OKU 2016-2023.

Menurut Ras Adiba peruntukan sebanyak RM5 juta untuk manfaat 5,000 komuniti tumpuan di 105 kolej komuniti di seluruh negara pula akan menggalakkan komuniti rentan seperti OKU, Orang Asli, ibu tunggal dan warga emas mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Sementara itu, Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Majlis ECCE) Prof Dr Mariani Md Nor berkata peruntukan untuk penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak menerusi Belanjawan 2024 menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan taraf pendidikan di peringkat prasekolah dan menggalakkan persekitaran lebih inklusif bagi memastikan akses pendidikan yang saksama terhadap semua kanak-kanak.

Beliau berkata sejumlah RM586 juta turut diperuntukkan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) tahun hadapan selain RM20 juta bagi menaik taraf premis pendidikan awal kanak-kanak KEMAS.

"Belanjawan 2024 Malaysia MADANI bukan sahaja mengutamakan kemajuan pendidikan awal kanak-kanak tetapi juga peluang untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh.

"Kami percaya peruntukan terhadap kebajikan dan pendidikan kanak-kanak amat diperlukan… kanak-kanak adalah aset masa depan dan memerlukan segala kemudahan untuk menjadi lebih dinamik dan progresif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 2:34 PM