GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan menerima peruntukan RM586 juta tahun hadapan bagi memastikan pendidikan awal kanak-kanak terus diberi perhatian.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak 10 Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) baharu akan dibina dengan kos RM31 juta di Kampung Paya Berenjut, Kemaman, Terengganu; Felda Jelai 1, Tampin, Negeri Sembilan dan Taman Kota Masai, Johor Bahru, Johor.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM20 juta ringgit bagi menaik taraf premis Pendidikan Awal Kanak-kanak KEMAS.

"Tahun hadapan juga, 26 buah prasekolah baharu di bawah Kementerian Pendidikan akan dibina membabitkan kos RM82 juta ringgit.

"Ini termasuklah pembinaan bangunan prasekolah di Sekolah Kebangsaan Abang Kadir Gedong, Simunjan, Sarawak;Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang, Kuantan, Pahang dan

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chabau, Melaka,"katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen.

Menurut Anwar lagi, penghayatan pendidikan Islam dan ilmu al-Quran juga akan terus diperkasakan sejak awal usia.

Justeru, kerajaan akan melaksanakan Program Pra Tahfiz KEMAS dengan peruntukan RM20 juta ringgit dengan sasaran untuk melahirkan 100 ribu hufaz cilik menjelang tahun 2026.

Kata beliau, pusat tahanan imigresen juga bukannya tempat untuk kanak-kanak dan ia tidak perlu pun dirujuk kepada konvensyen antarabangsa untuk sedar perihal itu, cukup dengan ihsan di sudut hati.

"Kerajaan memperintis program Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen Malaysia bagi menyediakan penempatan sementara buat kanak-kanak ini.

"Bagi tahun 2024, Kerajaan akan memperluas program ini di tiga lagi pusat penempatan sementara masing-masing satudi Sabah, Sarawak dan Semenanjung dengan peruntukan RM10 juta," katanya.

Sementara itu , kerangka ekonomi MADANI menetapkan penanda aras supaya kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh ditingkatkan kepada 60 peratus.

Bagi terus menggalakkan wanita untuk kembali bekerja, Anwar berkata, galakan cukai bagi wanita yang kembali bekerja dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027.

"Kerajaan mencadangkan bahawa had pengecualian cukai pendapatan ke atas elaun penjagaan anak yang diterima oleh pekerja atau dibayar terus oleh majikan kepada pusat jagaan kanak-kanak ditingkatkan daripada RM2,400 kepada RM 3,000, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 6:18 PM