AHMAD Marzuk Shaary (tengah) menyampaikan sumbangan RM50,000 daripada Tabung Musaadah COVID-19 JAKIM-Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) kepada Senator Ras Adiba Mohd Radzi (kanan) di Kompleks Islam Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
AHMAD Marzuk Shaary (tengah) menyampaikan sumbangan RM50,000 daripada Tabung Musaadah COVID-19 JAKIM-Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) kepada Senator Ras Adiba Mohd Radzi (kanan) di Kompleks Islam Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
BERNAMA

Putarajaya: Senator Ras Adiba Radzi meminta kerajaan untuk memberi kebenaran dan kelonggaran kepada pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan tadika untuk murid berkeperluan khas, beroperasi seperti biasa.

Beliau yang mewakili komuniti orang kurang upaya (OKU) di Dewan Negara berkata, pihaknya mendapat maklum balas bahawa kanak-kanak OKU seperti autisme dan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), berdepan dengan pelbagai cabaran akibat terkurung di rumah.

"Kami cuba beri sokongan kepada ibu bapa kerana memang susah sangat bagi mereka, selalunya anak-anak boleh dihantar ke kelas istimewa seperti Genius Kurnia dan sebagainya, tetapi dengan keadaan sekarang, anak-anak ini tak boleh keluar jadi kalau (ibu bapa) yang ada tiga orang anak OKU, mereka susah.

"Jadi saya mohon kerajaan untuk pertimbangkan agar kita dapat menghantar anak-anak istimewa ini ke pusat pendidikan khas atau PDK yang dapat membantu mereka supaya mereka tak lupa apa yang telah diajar oleh cikgu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Musaadah Covid-19 kepada Persatuan OKU Sentral, di sini, hari ini.

Ras Adiba yang juga Presiden Persatuan OKU Sentral menerima sumbangan RM50,000 daripada Tabung Musaadah Covid-19 Jakim-Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) yang disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.

Ras Adiba berkata, beliau mendapat maklumat dalam tempoh pandemik Covid-19 ini, ramai anak-anak istimewa yang terkurung dalam rumah menyebabkan keadaan mereka menjadi tidak keruan termasuk menyakitkan diri sendiri dan orang sekeliling.

"Tahun depan kita harap dapat diberi sedikit kelonggaran untuk pusat-pusat seperti Genius Kurnia dan sekolah yang menjaga anak-anak autisme dan berkeperluan khas untuk beri peluang (kembali ke sekolah). Di situ, mereka tidak keluar dan hanya (bercampur) antara mereka sahaja," katanya.

Sementara itu, mengenai sumbangan yang diterima, Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata, Persatuan OKU Sentral akan menggunakan sumbangan itu untuk membantu golongan OKU yang terjejas semasa pandemik Covid-19.

"Sumbangan ini akan membantu sahabat kami terutama di kawasan Lembah Klang iaitu kami boleh memberi mereka sokongan dari segi sumbangan makanan," katanya.

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata, sejak dilancarkan pada 24 Mac lalu, Tabung Musaadah Covid-19 Jakim-YWM menerima sumbangan daripada orang awam dan sektor korporat sebanyak RM6 juta dan daripada jumlah itu, RM3.7 juta sudah disalurkan kepada mereka yang layak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 3:23 PM