SIVAKUMAR, gambar fail. FOTO NSTP
SIVAKUMAR, gambar fail. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan membantu lebih 500 pekerja sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang ditamatkan perkhidmatan.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, kementeriannya sedia maklum berkenaan kemelut dihadapi syarikat penerbangan tempatan yang sedang hangat dibincangkan melalui media massa ketika ini.

Menurutnya, pihaknya menerusi Perkeso sentiasa memantau perkembangan terkini bagi memastikan segala perkara yang membabitkan kebajikan pekerja akan diambil tindakan segera.

"Berdasarkan rekod caruman Perkeso, 500 pekerja dijangka menerima manfaat Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso.

"Pekerja berkenaan akan menerima gantian pendapatan untuk tempoh tiga hingga enam bulan sementara mendapat kerjaya baharu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, manfaat Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) itu diberikan selepas semakan terhadap rekod caruman Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) mereka memenuhi syarat kelayakan.

Menurutnya, kementerian dan Perkeso komited serta sentiasa bersedia membantu meringankan bebanan mereka dari segi kewangan akibat diberhentikan kerja.

"Pekerja syarikat penerbangan ini akan dibantu melalui peningkatan kemahiran (upskilling) mengikut keperluan individu. Malah, mereka akan dimaklumkan mengenai kekosongan jawatan dan penempatan pekerjaan baharu melalui portal perkhidmatan pekerjaan negara MYFutureJobs.

"Bantuan kepada pekerja yang terkesan juga turut merangkumi perkhidmatan sokongan pekerjaan secara individu dan kaunseling kerjaya oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 7:18 PM