DUA penunggang motosikal  maut selepas bertembung di Kilometer 8, Teluk Kemang, Port Dickson. hari ini. FOTO Ihsan Polis
DUA penunggang motosikal maut selepas bertembung di Kilometer 8, Teluk Kemang, Port Dickson. hari ini. FOTO Ihsan Polis
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Dua lelaki maut selepas motosikal ditunggang bertembung di Kilometer 8, Jalan Pantai di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian berlaku pada 3.20 petang.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemuda keturunan Iban berusia 21 tahun dalam perjalanan dari arah Teluk Kemang ke Port Dickson dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

"Motosikal mangsa kemudian bertembung dengan motosikal ditunggang lelaki berusia 54 tahun secara berdepan.

"Kedua-dua mangsa parah di beberapa bahagian badan maut di tempat kejadian dan kemalangan turut menyebabkan laluan di kedua-dua arah sesak teruk," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan.

Katanya, orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh berhubung dengan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Port Dickson di talian 06-6472222.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 6:57 PM