GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyifatkan pengumuman Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan pada Jumaat lalu membuktikan keprihatinan dan sokongan kerajaan dalam membangun, memajukan dan memperkasa masyarakat Orang Asli.

Ketua Pengarahnya Datuk Sapiah Mohd Nor berkata peruntukan bagi komuniti Orang Asli sebanyak RM333 juta yang mencakupi pengurusan, pembangunan modal insan, usahawan dan pelaksanaan projek pembangunan ekonomi, pendidikan dan prasarana kepada masyarakat itu amat bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam memastikan kesejahteraan hidup rakyat tanpa tiada yang terpinggir.

Ini katanya, termasuk menggalakkan dan mempergiat program pembangunan usahawan masyarakat Orang Asli serta penanaman semula ladang masyarakat Orang Asli dengan peruntukan RM28 juta.

"Bagi perancangan dan hala tuju program dan pembangunan berdasarkan keseluruhan peruntukan diumumkan, Jakoa merangka pelbagai inisiatif untuk kemajuan masyarakat Orang Asli.

"Di antaranya bantuan pembiayaan biasiswa bagi pembelajaran berterusan pelajar Orang Asli cemerlang yang melanjutkan pengajian di universiti awam di dalam negara, bantuan wang saku, tambang pengangkutan, pakaian seragam, yuran pelbagai persekolahan dan asrama bagi pendidikan dari tadika hingga peringkat menengah serta bantuan kebajikan pesakit akan diteruskan di bawah peruntukan Peningkatan Taraf Hidup Orang Asli.

"Sejumlah RM5 juta turut disediakan untuk manfaat 5,000 komuniti rentan seperti orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas untuk mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat di 105 kolej komuniti seluruh negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan melalui peruntukan di bawah kementerian yang bertanggungjawab berkaitan alam sekitar dijangka melantik 2,000 renjer termasuk daripada kalangan Orang Asli selain veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta komuniti setempat.

Katanya, ia meningkatkan penguatkuasaan kawasan hutan simpan kekal dengan peruntukan sebanyak RM60 juta.

"Peranan renjer dilihat sudah berjaya membanteras pencerobohan, pembalakan, perlombongan haram dan pembunuhan hidupan liar.

"Di samping itu melalui program Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) juga sudah menyediakan kemudahan pembiayaan sebanyak RM300 juta untuk bantuan pembiayaan kepada peniaga kecil seperti pengusaha batik dan kraf yang melibatkan usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 12:37 PM