Ekhwan Haque Fazlul Haque


Bera: Barisan Nasional (BN) sentiasa memainkan peranan signifikan untuk menaik taraf kehidupan Orang Asli, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri yang juga calon BN bagi Parlimen Bera berkata, ketika menjawat jawatan Perdana Menteri, beliau mengembalikan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Katanya, ini bagi memastikan peranan jabatan itu lebih meluas dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup Orang Asli.

"Ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH), JAKOA diturun taraf dan diletakkan di bawah Jabatan Perpaduan Negara menunjukkan gabungan itu meminggirkan masyarakat Orang Asli," katanya ketika berucap dalam Program Moh Ngeteh di Kampung Ibam, di sini, hari ini.

Turut hadir, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Guai, Datuk Sabariah Saidin.

Terdahulu, Ismail Sabri turut menghadiri program sama di Kampung Bukit Rok.

Kehadiran beliau disambut meriah masyarakat Orang Asli suku Semelai yang ternyata teruja berpeluang bertentang mata dengan Perdana Menteri.

Dalam ucapan sama, Perdana Menteri menyatakan komitmen untuk memperjuangkan nasib komuniti Orang Asli agar mendapat peluang pendidikan, pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik.

"Sebagai Perdana Menteri, saya mahu masyarakat Orang Asli setanding dengan masyarakat lain di Malaysia.

"BN tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli dan ini terbukti apabila wakil Orang Asli diangkat menjadi Senator dan Ahli Parlimen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 7:46 PM
ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) diiringi calon BN Dun Guai, Datuk Sabariah Saidin (kanan) beramah mesra dengan penduduk kampung ketika Program Moh Ngeteh di Kampung Asli Bukit Ibam sempena Pilihan Raya Umum ke-15. FOTO Hairul Anuar Rahim.
ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) diiringi calon BN Dun Guai, Datuk Sabariah Saidin (kanan) beramah mesra dengan penduduk kampung ketika Program Moh Ngeteh di Kampung Asli Bukit Ibam sempena Pilihan Raya Umum ke-15. FOTO Hairul Anuar Rahim.