Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Rancangan pembukaan sebuah kilang pembuatan bateri kereta berkuasa elektrik yang pertama di negara ini dianggap sebahagian daripada pemangkin kawasan taman perindustrian baharu di Kerian, khususnya Parit Buntar dan Bagan Serai, yang dicadangkan Kerajaan Negeri Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya sudah dimaklumkan oleh pemilik tanah, MK Land Holdings Bhd (MK Land), mengenai cadangan pelaburan berkenaan yang diterima melalui Pusat Pengurusan Pelaburan Perak (InvestPerak), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

Menyifatkan potensi pulangan pelaburan yang sangat besar susulan pembukaan kawasan perindustrian terbabit tanpa menyebutkan nilai secara terperinci, Saarani berkata, pembinaan kilang yang terletak di Bagan Serai itu dijangka menyediakan 5,000 peluang pekerjaan.

"Saya tak dapat bagi bajet (nilai pelaburan) dia setakat ini tetapi kita masih sedang kenal pasti kawasan yang bersesuaian untuk taman perindustrian itu sebab permintaannya sangat tinggi daripada pelbagai pelabur sedia ada yang bertapak di Pulau Pinang.

"Mereka hendak besarkan pelaburan mereka namun disebabkan keluasan tanah di Pulau Pinang sudah padat dan tidak cukup, maka kita buka ruang di sini (Perak)," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Jalan Baharu Kamunting-Anak Kurau (Larut, Matang & Selama) Fasa 2 di Batu Kurau di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak Ir Hamdan Ali.

Sebelum ini, Saarani berkata, kepesatan pembangunan di Pulau Pinang, termasuk kawasan persempadanan di Batu Kawan, menyumbang kepada keperluan tapak kawasan baharu bagi tujuan perkilangan khususnya di Perak sebagai negeri bersempadan.

Pihaknya yakin kewujudan lapangan terbang bertaraf antarabangsa di Bayan Lepas, Pulau Pinang selain kewujudan pelabuhan di Pulau Mutiara itu menjadi tarikan kepada pelabur yang akhirnya membuatkan Parit Buntar dan Bagan Serai menjadi pilihan memandangkan ia kawasan yang paling dekat.

Sementara itu, Saarani berkata, Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar memperuntukkan RM73 juta bagi pelaksanaan Fasa 2 Jalan Baharu Kamunting-Anak Kurau selepas Fasa 1 pembinaannya siap pada 2013.

Beliau berkata, tempoh masa terlalu lama diambil bagi sambungan fasa berkenaan adalah disebabkan beberapa kekangan terutamanya masalah perubahan jajaran yang berkaitan dengan pengambilan tanah termasuk membabitkan kawasan perumahan.

"Pada awalnya, iaitu semasa Fasa 1, jajaran keseluruhan projek sudah ditentukan tetapi apabila masuk Fasa 2, jajaran itu didapati menempuh kawasan perumahan yang kalau kita hendak memindahkannya agak sukar, termasuk membabitkan bayaran pampasan.

"Jadi kita terpaksa buat jajaran baharu yang mana ia turut membabitkan proses menyukat, pengambilalihan tanah dan sebagainya yang mana ia agak lama (memakan masa) biarpun projek ini pada asalnya sudah diluluskan lebih awal," katanya.

Saarani berkata, Fasa 2 kerja pembinaan projek itu dimulakan pada 26 Julai lalu dan dijadualkan siap pada 27 Julai 2025 dengan rangkaian infrastruktur terbabit akan memendekkan jarak perjalanan antara Kamunting-Kampung Anak Kurau daripada 22 kilometer (km) kepada 11.2km.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 3:26 PM
Saarani Mohamad ketika mengendalikan jengkaut tanah sebagai gimik perasmian sewaktu Majlis Pecah Tanah jalan baharu Jalan Kamunting-Anak Kurau (Larut, Matang & Selama) Fasa 2 di Batu Kurau, di sini, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Saarani Mohamad ketika mengendalikan jengkaut tanah sebagai gimik perasmian sewaktu Majlis Pecah Tanah jalan baharu Jalan Kamunting-Anak Kurau (Larut, Matang & Selama) Fasa 2 di Batu Kurau, di sini, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI