FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Penyambungan semula projek pembinaan lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) di Selangor mampu menambah baik keterhubungan perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri ketika ini juga sedang membuat kajian bagi menghubungkan perkhidmatan rel dari Klang hingga ke Kuala Selangor.

"Alhamdulillah, ia (penyambungan semula projek pembinaan lima stesen) mampu meningkatkan keterhubungan rakyat terutama di kawasan Klang. Sebenarnya kerajaan negeri baru memulakan kajian berkenaan untuk penyediaan perkhidmatan rel sampai ke Kuala Selangor.

"Saya harap selepas satu tahun ini, kita dapat pelan yang lebih baik atau nampak jajaran yang lebih 'complete' untuk menyempurnakan tekad kita iaitu salah satunya menyediakan jajaran dari Utara Selangor sampai ke Klang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Selangor di IJM Rimbayu, di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani berkata, kerajaan bersetuju meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini dengan kos sebanyak RM4.7 bilion.

Lima stesen terbabit ialah Stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

Sebelum ini, semasa pelancaran Tawaran Kita Selangor oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional pada Ogos lalu, Amirudin membentangkan janji bagi mewujudkan Jajaran Kita Selangor yang menghubungkan perkhidmatan rel dari Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang, dan Sabak Bernam.

Selain itu, ia juga akan menghubungkan jajaran rel di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tanjong Sepat dan Sungai Pelek agar Wilayah Pantai Barat Selangor menjadi Koridor Perkhidmatan Rel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 1:45 PM