Menteri Besar Kelantan Datuk Nassuruddin Daud (tengah) ketika berucap pada Majlis Solidariti Rakyat Kelantan Bersama Al-Aqsa selepas Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu Kota Bharu, di sini, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Menteri Besar Kelantan Datuk Nassuruddin Daud (tengah) ketika berucap pada Majlis Solidariti Rakyat Kelantan Bersama Al-Aqsa selepas Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu Kota Bharu, di sini, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kerajaan negeri melancarkan Tabung Solidariti Rakyat Palestin menerusi Tabung Serambi Makkah bagi membantu umat Islam serta penduduk Palestin yang terkesan dengan kekejaman Israel.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud berkata, sumbangan itu dibuka selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 19 Oktober.

Katanya, tabung itu diuruskan di bawah Perbendaharaan Negeri Kelantan dan mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk dipanjangkan kepada saudara Islam di bumi Palestin bagi mempertahankan Masjidil Aqsa.

"Sumbangan boleh disalurkan melalui Tabung Amanah Kebajikan Darulnaim (Tabung Serambi Makkah) menerusi Bank Islam bernombor 03018010080024.

"Selain itu, orang ramai juga boleh memaklumkan maklumat sumbangan kepada Pejabat Pembangunan Negeri melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-25669076," katanya ketika berucap pada Majlis Solidariti Rakyat Kelantan Bersama Al-Aqsa selepas Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu Kota Bharu, di sini, hari ini.

Katanya, kejadian menimpa rakyat Palestin secara tidak langsung meningkatkan kesedaran rakyat mengenai perjuangan mereka mempertahankan Masjidil Aqsa.

"Atas dasar kemanusiaan serta saudara Islam, kita memberi sumbangan ini bagi meringankan penderitaan ditanggung sebagai sesama Islam," katanya.

Dalam pada itu, Nassuruddin berkata, beliau turut meminta rakyat di negeri ini memboikot produk keluaran Israel serta sekutunya bagi melemahkan sumber kewangan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 12:51 PM