AB Rasid (dua kanan) menyerahkan sumbangan kepada Wan Sukairi. FOTO Ihsan TFC
AB Rasid (dua kanan) menyerahkan sumbangan kepada Wan Sukairi. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Prihatin dengan nasib yang melanda rakyat di Palestin, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd menyerahkan sumbangan sebanyak RM2,500 kepada Tabung Prihatin Palestin hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, sumbangan itu sebagai satu tanggungjawab warga TFC Sdn Bhd dengan nasib yang menimpa penduduk di negara berkenaan.

Katanya, kejadian yang menimpa rakyat Palestin secara tidak langsung meningkatkan lagi kesedaran warga TFC Sdn Bhd mengenai perjuangan mereka dalam mempertahankan kesucian Masjidil Aqsa.

"Atas dasar kemanusiaan serta saudara Islam, kita terpanggil untuk memberi sumbangan bagi meringankan penderitaan yang ditanggung sesama Islam.

"Sumbangan yang dikumpul daripada pihak pengurusan dan pemain Terengganu FC dan Terengganu FC II itu sebagai tanda bahawa TFC Sdn Bhd juga prihatin dan bertanggungjawab dengan nasib rakyat Palestin yang menderita akibat kekejaman rejim Israel yang berlaku sebelum ini.

"Kita mengharapkan sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat menampung dan meringankan beban rakyat Palestin dan juga dapat membela nasib bumi Palestin daripada terus dianiaya rejim Zionis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sumbangan itu diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di pejabat pengerusi itu hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 8:15 PM