Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Kelantan bersetuju membuat potongan sebulan elaun untuk disumbangkan kepada Palestin.

Seramai 24 Adun berkenaan bersetuju membuat potongan sebulan elaun masing-masing berjumlah RM7,000 dengan jumlah keseluruhan RM168,000.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Datuk Hassan Mahamood berkata, setiap Adun bersetuju membuat potongan sebulan elaun bertujuan membantu rakyat Palestin.

"Sumbangan ini, kita akan membuat dua fasa yang pertama kita pungut daripada semua Ahli Yang Berhormat dalam mesyuarat hari ini berjumlah RM100,000 yang akan diserah kepada Menteri Besar Kelantan sebelum 19 Mei ini.

"Bagi fasa kedua, kita akan buat potongan terus daripada elaun Adun masing-masing sebanyak RM7,000," katanya dalam sidang media di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Beliau yang juga Adun Tawang berkata, Kelantan mengambil keputusan untuk sama-sama membantu rakyat Palestin yang sedang bergelut dengan peperangan.

"Sebagaimana yang kita maklum, Palestin dihujani dengan darah dan sebab itu atas dasar kemanusiaan serta saudara Islam, kita memberi sumbangan.

"Kita minta orang Islam yang mana-mana rasa simpati dengan saudara kita di Palestin supaya semuanya dapat memberi sumbangan," katanya.

Orang ramai yang mahu membantu rakyat Palestin boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Tabung Serambi Mekah, 03018010080024.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 3:03 PM