Amir Abd Hamid dan Muhammad Saufi Hassan


DUA PULUH rakyat Malaysia termasuk dua petugas Yayasan Al Amin berangkat ke Jordan malam ini sebelum ke Masjidil al-Aqsa di Baitulmaqdis, esok.

Mereka menaiki penerbangan Royal Jordanian Boeing 777, 10 malam, hari ini untuk penerbangan 12 jam ke Amman.

Pengasas dan Pengerusi Yayasan Al Amin, Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin yang lebih popular digelar Ustaz Amin berkata, dua petugasnya iaitu Ustaz Ahmad Fikri Akmal, 34, Ustaz Hasnan Syah Haliman Syah, 25, akan membawa 18 individu itu menziarah Masjidil Al Aqsa.

"Biarpun banyak laporan berita asing mengatakan tak selamat namun saya memberi jaminan Al Aqsa selamat diziarah berdasarkan pengalaman sebelum ini.

"Memang usaha menjauhkan umat Islam daripada mengunjungi masjid ketiga suci itu sentiasa dilakukan.

"Padahal Rasulullah SAW menganjurkan keutamaan untuk mengimarahkan Masjidilharam, Masjid Nabawi dan Masjidil Al Aqsa," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.

Pesara Abdul Halil Abdul Rahman, 56, berkata, dia dan isterinya Rosnawati Abdul Karim, 53, sudah 17 tahun menyimpan hasrat untuk ke Masjidil Al Aqsa.

Menurutnya, hasrat itu terpendam selepas mereka menunaikan ibadah haji 17 tahun lalu.

"Alhamdulillah, kali ini Allah SWT berikan rezeki untuk kami tunaikan hasrat sekian lama terpendam," kata pasangan berasal dari Selama dan Kuala Kangsar, Perak itu.

Pesara guru, Mohd Shahrif Zakaria, 57, pula berkata, dia dan isterinya tidak merasa takut untuk ke Baitulmaqdis sebaliknya bersyukur terpilih ke sana.

Menurutnya, isteri Fariza Ahmad, 55, yang juga pegawai farmasi Hospital Kepala Batas selalu meminta supaya dapat melengkapkan ziarah tiga masjid suci sebab sebelum ini sudah ke Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

"Ini saya anggap pengisian masa pencen. Ada kawan mengusik selamat bercuti namun jauh di sudut hati kami ialah mahu beribadah di Masjidil Al Aqsa yang dijanjikan pahala berganda.

"Kami penuh pengharapan semoga Allah SWT perkenan doa untuk beribadah di Masjid Al Aqsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 10:58 PM
USTAZ Amin mengetuai bacaan doa selepas memberikan taklimat. FOTO Amir Abd Hamid
USTAZ Amin mengetuai bacaan doa selepas memberikan taklimat. FOTO Amir Abd Hamid