Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Jumlah kutipan Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah) untuk membantu rakyat Palestin kini mencecah hampir RM1 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, tabung yang dilancarkan pada 13 Mei lalu akan ditutup, esok sebelum diserahkan kepada Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah menerusi Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Katanya, terdapat seorang individu menyumbang RM50,000 kerana terkesan dengan kesengsaraan rakyat Palestin terhadap kezaliman Zionis Israel.

"Semalam Sultan Muhammad V memperkenan untuk mengurniakan peruntukan berjumlah RM300,000 kepada rakyat Palestin.

"Selain itu, kerajaan Kelantan juga menyumbangkan RM100,000 melalui Tabung Serambi Mekah sebagai tanda kebersamaan dan dalam masa sama, seramai 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Kelantan bersetuju membuat potongan sebulan elaun untuk disumbangkan kepada Palestin," katanya ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan badan bukan kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan badan bukan kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Hadir sama, Setiausaha Politik Menteri Besar Mohd Asri Daud; Pengarah Urusetia Penerangan dan Komunikasi kerajaan negeri Kelantan Ahmad Fathan Mahmood @ Mahamad dan Presiden Cakna Palestin Wan Sharafi Wan Mustaffa.

Katanya, kejadian menimpa rakyat Palestin secara tidak langsung meningkatkan kesedaran rakyat mengenai perjuangan mereka dalam mempertahankan Masjidil Aqsa.

"Atas dasar kemanusiaan serta saudara Islam, kita memberi sumbangan bagi meringankan penderitaan ditanggung sebagai sesama Islam," katanya.

Orang ramai yang mahu membantu rakyat Palestin boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 03018010080024 atas nama Tabung Serambi Mekah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 6:39 PM