SPRM  menahan tiga individu termasuk dua anggota penguat kuasa. FOTO Ihsan SPRM
SPRM menahan tiga individu termasuk dua anggota penguat kuasa. FOTO Ihsan SPRM
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan tiga individu, termasuk dua penguat kuasa bermotosikal, kerana disyaki meminta rasuah RM1,500 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pemandu kenderaan yang menggunakan dan memiliki lesen perdagangan kenderaan motor ('trade plate').

Sumber berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 36 hingga 37 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Kuala Lumpur antara jam 5 petang hingga jam 7 malam tadi.

"Penguat kuasa itu yang menaiki motosikal dipercayai menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu menggunakan nombor trade plate syarikat jam 9.30 pagi semalam.

"Penguat kuasa terbabit kemudian memberitahu pemandu kenderaan itu bahawa nombor trade plate yang digunakan adalah palsu," katanya.

Menurut sumber, seorang daripada penguat kuasa meminta RM1,500 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu kenderaan terbabit.

Susulan penahanan itu, ketiga-tiga suspek, termasuk seorang lelaki yang bertindak sebagai 'runner', dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi, bagi permohonan reman.

Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan permohonan reman selama enam hari bermula hari ini, sehingga 17 Oktober ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 3:51 PM