GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Juruteknik direman enam hari bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta rasuah berjumlah RM1,500 daripada seorang pemilik rumah sebagai balasan tidak mengeluarkan saman atas kesalahan mencuri bekalan elektrik.

Perintah reman selama enam hari bermula hari ini hingga 24 Ogos ini dikeluarkan oleh Majistret Ariff Danial Shah Shahril Nor selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan terbabit di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.

Harian Metro semalam melaporkan SPRM Selangor menahan seorang juruteknik kerana disyaki meminta rasuah berjumlah RM1,500 daripada seorang pemilik rumah sebagai balasan tidak mengeluarkan saman atas kesalahan mencuri bekalan elektrik.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 20an itu adalah kakitangan syarikat vendor kepada sebuah syarikat utiliti tenaga elektrik dan dia ditahan jam 5.30 petang semalam tadi di sebuah pangsapuri di Klang, Selangor.

"Suspek disyaki menghubungi seorang lelaki yang menyatakan meter di rumahnya terbabit dengan kecurian elektrik dan boleh dikenakan denda RM16,000.

"Sebagai balasan untuk tidak dikenakan sebarang denda, suspek meminta wang RM1,500. Bagaimanapun suspek menerima RM1,000 selepas lelaki itu meminta nilai sogokan dikurangkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 2:47 PM