IBU Pejabat SPRM, Putrajaya. FOTO Aswadi Alias.
IBU Pejabat SPRM, Putrajaya. FOTO Aswadi Alias.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang juruteknik kerana disyaki meminta rasuah berjumlah RM1,500 daripada seorang pemilik rumah sebagai balasan tidak mengeluarkan saman atas kesalahan mencuri bekalan elektrik.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 20an itu adalah kakitangan syarikat vendor kepada sebuah syarikat utiliti tenaga elektrik dan dia ditahan kira-kira jam 5.30 petang, hari ini di sebuah pangsapuri di Klang, Selangor.

"Suspek disyaki menghubungi seorang lelaki yang menyatakan meter di rumahnya terbabit dengan kecurian elektrik dan boleh dikenakan denda sebanyak RM16,000.

"Sebagai balasan untuk tidak dikenakan sebarang denda, suspek meminta wang sebanyak RM1,500. Bagaimanapun suspek menerima RM1,000 setelah lelaki itu meminta agar nilai sogokan dikurangkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi tujuan permohonan reman jam 9 pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 11:26 PM