Muhammad Saufi Hassan

Syiah adalah satu ajaran menyeleweng daripada Islam dan perkara itu sudah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) sejak 1996.

Bagaimanapun, ajaran berkenaan dikesan masih berkembang sehingga kini termasuk wujud usaha kumpulan tertentu yang menerima dana daripada luar negara bertujuan untuk mengembangkannya di negara ini.

Kewujudan kira-kira 40 hauzah iaitu pusat ibadat untuk ajaran Syiah seluruh negara menggambarkan bahawa gerakan itu bukan saja tidak menghormati keputusan MFK malah, wujud kebimbangan berlaku ketidakstabilan keselamatan.

Kafe Ahad minggu ini cuba mendapatkan gambaran jelas berhubung penularan ajaran itu termasuk sejauh mana Syiah didapati menyeleweng daripada Islam.

Untuk menjelaskan perkara itu wartawan, MUHAMMAD Saufi Hassan menemu bual Penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Emeritus Datuk Zakaria Stapa.

Zakaria yang berpengalaman lebih 15 tahun sebagai Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan giat mengkaji berkaitan gerakan Syiah termasuk ancaman gerakan lain terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di Malaysia.

Ikuti penerangan tuntas berhubung kesesatan ajaran berkenaan dan sejauh mana perkembangan Syiah mampu untuk menggugat keselamatan negara.

Secara asasnya sejak bila perkembangan Syiah berlaku di negara ini?

Perkara ini sudah berlaku sejak berdekad yang lalu atau secara tepatnya selepas Revolusi Iran pada penghujung 1970-an yang menyingkirkan golongan diraja negara itu dikenali dengan nama Shah of Iran.

Ketika itu, masyarakat umum di negara ini masih kurang arif berkaitan Syiah dan hanya beranggapan bahawa ia adalah salah satu daripada mazhab yang wujud seperti Maliki, Hanafi, Hanbali dan Syafie.

Kejayaan gerakan terbabit sedikit sebanyak mendapat tempat di hati pemimpin politik tanah air dan wujud pandangan bahawa untuk mendirikan sebuah negara Islam di Malaysia, perlu mengikut contoh Iran.

Asbab daripada itu, maka sedikit demi sedikit doktrin atau fahaman itu mulai masuk kerana kekaguman kita terhadap kejayaan Iran tanpa disedari bahawa aliran fahaman mereka sangat tidak bersesuaian untuk diamalkan. Tambahan pula, aliran berkenaan begitu bertentangan dengan ASWJ yang diguna pakai oleh kebanyakan negara Islam lain. Hasil daripada revolusi itu juga, ramai rakyat kita yang bertindak menghantar anak untuk menyambung pengajian dalam bidang keagamaan di Qoms, Iran.

Sekembalinya pelajar ini, perkembangan aliran berkenaan tambah rancak sehingga kewujudan hauzah di negara ini dan wujud pertentangan pegangan antara mereka (Syiah) dan ASWJ.

Boleh Prof jelaskan bilakah Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) bertindak untuk memutuskan ajaran ini sebagai sesat?

Selepas kembalinya pelajar kita yang belajar di Iran, mereka membawa doktrin Syiah dan aliran itu didapati semakin berkembang sehingga memaksa MFK untuk bersidang sekitar Mei 1996 untuk membincangkan perkara itu.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 membincangkan Syiah di Malaysia dan keputusannya adalah semua mazhab dalam aliran Syiah adalah bersifat sesat serta dilarang untuk diamalkan.

Sebelum itu, pada 1984, keputusan muzakarah hanya menetapkan dua aliran mazhab Syiah saja dibenarkan iaitu Zaidiyah dan Jaafariah namun selepas keputusan terbaru MFK itu, semua aliran ajaran itu didapati menyeleweng.

Keputusan itu juga menetapkan bahawa umat Islam di negara ini hendaklah mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Kita juga menyokong dan menerima cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri bagi memperuntukkan dengan nyata bahawa agama bagi Persekutuan dan negeri hendaklah agama Islam berasaskan ASWJ saja. Sebarang bentuk penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa juga bentuk seperti buku, risalah, filem atau video berhubung ajaran yang bertentangan dengan ASWJ adalah diharamkan. Uniknya, keputusan MFK ini digazetkan di seluruh 13 negeri. Maknanya, seluruh negeri sepakat dengan keputusan yang sudah dibuat oleh MFK.

Boleh Prof jelaskan sejauh mana pertentangan akidah Syiah dan ASWJ?

Perbezaan ini boleh dikesan dengan ketara sama ada daripada aspek akidah, akhlak atau syariah sekalipun. Jika kita melihat kepada aspek akidah, mereka golongan Syiah memegang mempercayai Imamah (Imam mereka) termasuk dalam rukun Islam, manakala kita tidak ada perkara sebegitu. Syiah juga beranggapan bahawa ilmu Allah itu berubah mengikut suasana atau peristiwa yang berlaku terhadap manusia sedangkan secara mutlaknya, ilmu Allah itu bersifat Qodim (sedia ada) dan perkara itu tidak dipertikaikan.

Seterusnya, mereka mengamalkan taqiyyah (menyembunyikan iman) dan bermuka-muka. Jika mereka bergaul dalam komuniti ASWJ, mereka seperti pengikut Islam sebenar namun hakikat sebenarnya adalah mereka dengan sengaja tidak mahu mendedahkan akidah serta pegangan mereka. Berdasarkan pandangan kumpulan Syiah yang radikal, mereka beranggapan bahawa Saidina Ali itu tarafnya sama seperti Allah dan kumpulan ajaran ini mengkafirkan hampir semua sahabat termasuk Saidina Abu Bakar As Siddiq, Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Uthman Affan dan Muawiyah Abu Sufyan.

Daripada aspek syariah pula, mereka menolak ijmak ulama iaitu keputusan yang dibuat oleh ulama, menolak Qiyas (menyamakan masalah yang tidak dijelaskan hukumnya di dalam al-Quran atau Hadis atau ijmak ulama) dan mengamalkan nikah Muta’ah.

Nikah Muta’ah ini secara mudah boleh kita anggap sebagai nikah kontrak untuk suatu jangka masa sedangkan perkara ini sangat dilarang dalam Islam.

Syiah juga tidak mengamalkan solat lima kali sehari semalam sebaliknya hanya tiga kali saja yang dijamakkan untuk setiap waktu seperti solat Zuhur dan Asar dijamakkan pada solat Zuhur, solat Maghrib dan Isyak dijamakkan dalam solat Maghrib dan Subuh.

Kita sebagai ASWJ, jamak hanya dibolehkan ketika kita bermusafir saja sedangkan Syiah untuk semua keadaan. Mereka juga tidak memakan sembelihan orang ASWJ kerana beranggapan bahawa darah orang selain daripada pengikut mereka adalah halal dan kita dianggap kafir.

Mengapakah Syiah begitu membenci sahabat dan mengkafirkan mereka?

Golongan Syiah ini beranggapan bahawa selepas kewafatan Rasulullah SAW, Saidina Ali adalah paling layak sedangkan dalam beberapa keadaan Abu Bakar dipilih menjadi pemimpin pertama selepas ketiadaan baginda nabi. Untuk itu, mereka beranggapan semua sahabat ini berkomplot untuk meminggirkan Saidina Ali sedangkan faktanya tidak begitu dan pengikut Syiah ini berlebihan dalam hal berkenaan.

Bagi memahami lebih jelas, pendekatan mereka untuk mengkafirkan sahabat adalah untuk memusnahkan sumber kedua berhukum dalam Islam iaitu hadis.

Kebanyakan periwayat hadis adalah dalam kalangan sahabat kerana mereka mendengar sabda nabi, mereka melihat perbuatan nabi dan tingkah laku baginda. Apabila mereka mengkafirkan sahabat, secara halusnya, mereka mahu menolak sumber kedua berhukum dalam Islam.

Ini adalah gerakan terancang mereka untuk jangka panjang supaya kita mempertikaikan hadis. Golongan Syiah ini mempunyai hadis mereka sendiri kerana sudah menolak hadis sedia ada.

Adakah kemungkinan bahawa ajaran ini akan menjurus kepada kegiatan keganasan?

Kemungkinan itu tetap ada. Jika kita melihat senario yang berlaku di Syria, Yaman dan Iraq, wujud kemungkinan itu apabila mereka memiliki kuasa dan kemampuan persenjataan, mereka mungkin akan cenderung ke arah itu. Namun saya tidak kata 100 peratus akan terjadi begitu cuma wujud kemungkinan berkenaan. Mungkin hari ini, kekuatan atau jumlah mereka masih kurang dan kita tidak melihat faktor ancaman itu.

Bagaimanapun, kita perlu sentiasa serius dalam mendepani isu sebegini. Kita tidak mahu ada episod Syria berlaku di negara ini dan yang penting adalah keselamatan secara keseluruhan terjamin.

Ada cadangan bahawa perlu diwujudkan garis panduan untuk mengasingkan hukuman antara penganut ajaran Syiah dan penyebar. Apakah pendirian Prof dalam hal ini?

Pertama, perlu kita tahu bahawa perundangan berasaskan kepada Perlembagaan. Dalam Perlembagaan kita menyatakan bahawa agama Persekutuan adalah Islam dan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam boleh menganut sebarang agama lain asalkan tidak menyebarkan dakyah itu.

Perlu difahami bahawa peruntukan ini terpakai untuk golongan bukan Islam. Ia tidak terpakai untuk Syiah kerana Syiah adalah satu aliran yang sesat dalam Islam, tetapi tidak pula mereka menjadi kafir.

Ini yang membezakan peruntukan undang-undang itu. Untuk agama lain, ya betul, mereka boleh menganut, tetapi tidak menyebarkannya. Tetapi untuk Syiah tidak begitu, kerana kita hanya memperincikan bahawa mereka sesat dan dalam golongan yang menyeleweng saja.

Perkara ini sangat berbeza. Oleh itu, penganut Syiah perlu bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam sebenarnya. Cadangan untuk mewujudkan garis panduan itu adalah tidak praktikal secara keseluruhannya.

Syiah ini bukan kafir, mereka masih dianggap Islam namun terpinggir dalam golongan sesat dan menyeleweng. Jadi, menjadi tanggungjawab kita untuk memulihkan akidah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 9:05 AM