Kuala Lumpur: Seorang penganalisis daripada Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa akaun peribadi milik Datuk Seri Najib Razak menerima kemasukan AS$30 juta (RM140.9 juta) daripada sebuah syarikat tersedia Blackstone Asia Real Estate Partners, didakwa ditubuhkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
Adam Ariff Mohd Roslan, 29, berkata pada 30 Oktober 2012, sejumlah AS$5 juta (RM23.4 juta) dibayar dan AS$25 juta (RM117.3 juta) lagi dibayar pada 19 November pada tahun sama.
"Rekod Standard Chartered Bank untuk Blackstone Asia Real Estate Partners mengesahkan akaun yang menerima kedua-dua pindahan itu ialah akaun bernombor '2112022009694' di bawah nama 'AmPrivate Banking – MR' dengan AmIslamic.
Semakan ke atas rekod dan penyata bank bertarikh 31 Oktober 2012 dan 20 Nov 2012 untuk akaun bernombor 2112022009694 di bawah nama 'AmPrivate Banking – MR dan/atau Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak' seperti diberikan AmIslamic sepadan dengan pindahan itu," kata Adam Ariff.
Saksi ke-47 pendakwaan itu berkata demikian ketika menentusahkan laporan jejak kewangan semasa perbicaraan kes Najib melibatkan pertuduhan menyelewengkan dana RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB)
Dilaporkan Jho Low menubuhkan Blackstone Asia Real Estate Partners, sebuah syarikat tersedia dengan nama yang sama dengan firma ekuiti hartanah persendirian Blackstone Real Estate dan Low didakwa dengan sengaja menggunakan satu konvensyen penamaan untuk syarikat tersedia luar pesisir yang diwujudkannya bagi menyerupai syarikat yang sudah matang dalam konspirasinya mengaut berjuta-juta dolar daripada 1MDB.
Terdahulu, Adam Ariff mengesahkan RM60.6 juta yang diterima tertuduh dalam akaun bank peribadinya pada Februari dan Jun 2011 adalah daripada Bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang diterbitkan pada 2009 oleh syarikat sebelum sebelum 1MDB, Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang dinamakan semula sebagai 1MDB pada 25 September 2009.
Najib kelihatan mengenakan kot dan bertali leher seperti biasa dalam kamar mahkamah hari ini sementara beberapa penyokongnya kelihatan duduk di galeri awam.
Najib,70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Sequerah bersambung esok.