Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kelantan merekodkan jumlah bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar tertinggi di Semenanjung.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sehingga 11 September lalu, jumlah yang direkodkan bagi KIR miskin seramai 57,355 orang.

Katanya, jumlah KIR miskin tegar pula seramai 10,417, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 67,772 orang KIR.

"Saya menyeru semua ketua jabatan dan agensi dapat sama-sama melihat perkara ini dengan serius serta mendahulukan faktor kesejahteraan rakyat dalam apa jua perancangan pembangunan projek.

"Ia adalah seiring dengan hasrat penubuhan Kerajaan Madani iaitu Menokhtahkan Kemiskinan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, Kelantan adalah sebuah negeri yang strategik, mempunyai sempadan darat negara, hasil sumber asli yang banyak baik di laut dan di darat, serta rakyat yang majoritinya Melayu yang dikenali sentiasa gigih bekerja serta pandai berniaga.

Malah katanya, berdasarkan sejarah, disebabkan kedudukan geografi yang strategik, Jepun menjadikan negeri ini tempat pendaratan yang pertama pilihan mereka.

"Bagaimanapun, berdasarkan pencapaian semasa, Kelantan adalah antara negeri yang agak perlahan dari segi pembangunannya. Ia adalah cabaran yang besar bagi pemerintah negeri mahupun Persekutuan untuk memastikan negeri ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

"Perancangan pembangunan amatlah penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 9:58 AM