Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), hari ini.
Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), hari ini.
Oleh Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) Asas Tahun 2022 adalah pada kadar 18.33 peratus setakat 15 April lalu.

Perdana Menteri berkata, perkembangan berkenaan dimaklumkan pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) kali pertama bagi tahun 2022.

Mesyuarat dipengerusikan beliau itu turut dihadiri empat Menteri Kanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin serta ketua jabatan dan agensi berkaitan secara dalam talian.

Rentetan itu, katanya, Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) diwujudkan bagi menangani cabaran utama dalam pengagihan DE.

Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju supaya Ketua Setiausaha semua kementerian melaporkan status perbelanjaan DE kepada menteri masing-masing setiap bulan supaya tindakan segera dapat diambil bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.

"Selaras dengan RMKe-12, kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi pada 2025. Mesyuarat pada hari ini telah meluluskan rangka kerja untuk memantau prestasi beberapa petunjuk untuk mencapai sasaran tersebut.

"Petunjuk ini merangkumi tiga komponen iaitu kemakmuran, inklusiviti dan kemampanan. Antaranya termasuklah pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan isi rumah, peningkatan daya saing dan produktiviti.

"Peningkatan sumbangan industri berimpak tinggi kepada ekonomi, pembasmian kemiskinan tegar, pembangunan negeri seimbang dan kemampanan dan daya tahan alam sekitar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat sama turut membincangkan strategi membasmi miskin tegar menjelang 2025 dengan Fasa 1 Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bermula bulan ini membabitkan 80 lokaliti dan kira-kira 5,000 ketua isi rumah (KIR).

Secara keseluruhan, katanya, sebanyak 1,000 lokaliti akan dipilih untuk pelaksanaan BMTKM sehingga penghujung 2025.

"Pelaksanaan BMTKM menggunakan pendekatan baharu yang lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan memberi tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan KIR miskin tegar secara mampan.

"Mesyuarat juga dimaklumkan berkenaan Perancangan Projek Tebatan Banjir bernilai RM15 bilion bagi tempoh lapan tahun (2023 hingga 2030).

"Kaedah pembiayaan projek ini sedang diperincikan Kementerian Kewangan.

"Perancangan secara holistik ini merangkumi projek jangka masa pendek atau sederhana dan panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 5:08 PM