PROF Dr. Mohamed Zakaria Hussin. FOTO arkib NSTP
PROF Dr. Mohamed Zakaria Hussin. FOTO arkib NSTP
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Kerajaan digesa mengambil langkah proaktif bagi menangani dakwaan lebih dua juta hektar kawasan hutan di negara ini akan ditebang seperti dibangkitkan badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar RimbaWatch.

Perkara itu didedahkan menerusi satu laporan bertajuk 'State of Malaysian Rainforest 2023' dihasilkan oleh RimbaWatch yang turut mendedahkan liputan hutan negara akan berkurangan kepada 47 peratus pada masa akan datang.

Presiden Institut Rimbawan Malaysia (Irim), Profesor Dr Mohamed Zakaria Hussin berkata, kerajaan perlu mengadakan Strategi Konservasi Hutan Negara bagi melaksanakan pentadbiran hutan yang lestari dan guna tanah mampan.

"Hal ini untuk mengelakkan sebarang kegiatan pencerobohan hutan seperti aktiviti pembangunan dan pembalakan, manakala perlombongan haram perlu diberi perhatian serta memperuntukkan instrumen kewangan yang inovatif.

"Antaranya sistem pembayaran bagi perkhidmatan ekosistem (PES) untuk membantu penambahan dana kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan dalam usaha penghijauan alam sekitar," katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu mengembalikan semula peranan Majlis Perhutanan Negara (MPN) sebagai platform untuk membincangkan isu berkaitan perhutanan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Katanya, pengurusan hutan yang mampan perlu dipraktikkan demi kelestarian sumber asli seiring dengan pembangunan sosio ekonomi terutama di negeri yang sedang giat membangun.

"Irim bersetuju dengan pandangan Jabatan Hutan Sabah mengenai penubuhan ladang hutan dapat mengurangkan kebergantungan industri kayu kayan tempatan terhadap sumber bekalan balak daripada hutan asli negeri.

"Penubuhan ladang hutan juga tidak boleh ditakrifkan sebagai penyahhutanan kerana ia tidak menukarkan kawasan hutan kepada jenis guna tanah yang lain," katanya.

Katanya, maksud 'forest' yang dibangkitkan dalam laporan RimbaWatch perlu dilihat berdasarkan kepelbagaian kegunaan hutan di mana maksudnya berbeza di mata pemegang taruh berlainan.

"Konsep 'Hutan Melangkaui Pembalakan' yang diamalkan bukan hanya tertumpu kepada pengurusan hutan sebagai sumber kayu-kayan, namun meliputi pelbagai fungsi lain seperti habitat hidupan liar, tadahan air, ekopelancongan, kawalan banjir dan sebagainya.

"Kegunaan hutan untuk pembalakan, pemulihan dan perladangan hutan pula dilakukan berdasarkan pengezonan hutan yang dikawal mengikut Catuan Tebangan Tahunan (CTT) atau kup tahunan (annual coupe) dalam Rancangan Pengurusan Hutan (RPH)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 2:55 PM