FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Syamilla Bihai dan Apek Bihai, dua nama yang tidak asing lagi bagi penduduk Orang Asli di beberapa kampung di Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan.

Ia bukanlah nama tok batin sebaliknya raja rimba yang pernah menyerang penduduk Orang Asli di kampung terbabit pada tahun 2021.

Ngauman dan cakaran di dinding buluh kediaman milik penduduk di Kampung Hak dan Kampung Tendrik itu masih menjadi igauan ngeri buat mereka.

Walaupun, Syamilla Bihai berjaya ditangkap pada Julai 2021 dan Apek Bihai pula pada September lalu, namun kemunculan beberapa ekor lagi harimau menggemparkan penduduk di Gua Musang.

Hutan sudah menjadi kebiasaan buat penduduk Orang Asli, namun kehadiran raja rimba itu menimbulkan kegentaran kepada Orang Asli yang bergantung sepenuhnya terhadap hasil hutan.

Minggu ini, beberapa kejadian Harimau Malaya 'mengamuk' sehingga menyebabkan dua individu maut dibaham raja rimba berkenaan terus menjadi siulan dan bualan penduduk tempatan.

Terbaharu, seorang pemuda berdepan detik cemas apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor harimau belang yang tiba-tiba keluar dari kawasan hutan di Jalan Gua Musang-Jeli.

Penulis adalah anak jati Gua Musang sering dijadikan 'kaunter' pertanyaan rakan sekolah serta penduduk setempat yang ingin mendapatkan maklumat berhubung siri serangan pak belang di daerah ini.

Rakan Orang Asli ada juga yang turut melahirkan kebimbangan mereka berhubung krisis hidupan liar dengan manusia.

"Baru ni gajoh, ni mari rima pulok (Baru-baru ini serangan gajah, kini kehadiran harimau pula)," kata Kamis Senik yang tinggal di Kuala Betis daripada suku Temiar.

Habitat harimau yang semakin kecil ini sudah lama dibincangkan yang mana kawasan legar bagi harimau jantan ialah 300 kilometer (km) persegi, manakala harimau betina kira-kira 100 km persegi.

Menurut Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof Dr Ahmad Ismail, sekiranya kawasan legar harimau semakin kecil, ada kemungkinan ia bertindak dengan kawasan legar manusia di dalam hutan atau harimau masuk kawasan manusia.

"Apabila manusia dan harimau berkongsi habitat dan sumber makanan, ia boleh menimbulkan konflik antara manusia dan harimau," katanya.

Susulan itu Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) mendesak kerajaan negeri menghentikan semua kelulusan kawasan pembalakan, perladangan atau apa sahaja projek mega yang melibatkan proses penyahutanan, terutamanya di kawasan perkampungan Orang Asli di Ulu Kelantan.

Kumpulan itu juga turut mempersoalkan bagaimana pemuliharaan hidupan liar dapat dijalankan dengan berkesan jika hutan yang menjadi habitat hidupan liar terutamanya harimau tidak diurus, dijaga dan dipulihara dengan baik hingga menyebabkan kemerosotan ketara kawasan berhutan.

Badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat Orang Asli itu turut berpendapat krisis hidupan liar dan manusia yang berlaku kini disebabkan kawasan hutan yang semakin merosot ekoran pembukaan hutan yang berleluasa di Ulu Kelantan.

Krisis ini memberi ancaman kepada kehidupan masyarakat Orang Asli dan ini menjejaskan kesentosaan kehidupan Orang Asli yang seharusnya dijaga oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan.

Bagi penulis yang lahir dan membesar di pedalaman, krisis yang dihadapi ini bukan sahaja dilalui oleh masyarakat Orang Asli, malah turut memberi kesan kepada penduduk setempat.

Penulis berpendapat harimau memainkan peranan penting dalam ekosistem hutan semula jadi dan bukanlah ancaman sekiranya habitat asal tidak diganggu.

Pengurangan populasinya boleh menyebabkan ekosistem hutan tidak stabil dan hubungan antara mangsa dan pemangsa menjadi tidak seimbang.

Konflik ini juga boleh diatasi dengan pemberhentian penerokaan hutan secara berleluasa tanpa kawalan dan penambahan haiwan mangsa ke kawasan hutan yang kekurangan haiwan mangsa seperti rusa sambar dan kijang.

Namun, sehingga kini kerajaan negeri masih tidak memberikan sebarang respon atau pelan bagi menangani konflik yang berlaku.

Harimau Malaya perlu dijaga rapi kerana haiwan ini lambang keberanian, kekuatan dan kebanggaan negara.

Haiwan ini dijadikan simbol yang membolehkan rakyat berkongsi semangat cintakan negara, jati diri bangsa dan negara. Ia adalah haiwan simbolik yang menggambarkan kekuatan, keazaman dan keberanian bangsa Malaysia.

Selain itu, harimau Malaya adalah simbol penting pada Jata Negara dan jata rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Kemunculan haiwan ini menerusi beberapa siri serangan yang dilakukan adalah isyarat bahawa kita kesuntukan masa untuk memastikan populasi haiwan ini terpelihara dan krisis hidupan liar dengan manusia akan berterusan.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 6:25 AM