KEADAAN motosikal mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 38 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah. FOTO ihsan Polis
KEADAAN motosikal mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 38 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah. FOTO ihsan Polis
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: "Pada malam kejadian, kami dimaklumkan wang berteraburan di atas jalan dan orang ramai mengambil wang itu dan dimasukkan semula ke dalam beg arwah.

"Mungkin wang itu baru sahaja dikeluarkan arwah abang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan sepatutnya mereka membeli uniform sekolah pada hari semalam," kata Nik Nurul Shazelin Mohd Nawi, 31, iaitu adik kepada pemandu Mufti Kelantan yang meninggal dunia dalam kemalangan, kelmarin.

Dalam kejadian itu, Nik Mohammad Ahzan Mohd Nawi, 41, disahkan antara dua yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 38 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah.

Bercerita lanjut, Nik Nurul Shazelin berkata, dia mengetahui kemalangan yang meragut nyawa abang sulungnya itu selepas dihubungi oleh seorang lagi abangnya pada 9.30 malam selepas pulang dari melawat ibunya.

"Abang saya mengetahui mengenai kemalangan itu selepas rakannya yang juga anggota polis berada di lokasi kejadian memberitahunya sebaik melihat nama pada kad pengenalan arwah," katanya.

Nik Nurul Shazelin berkata, beberapa hari sebelum arwah abangnya terbabit dalam kemalangan, kakak iparnya, Nor Liana Aziz, 37, ada memaklumkan arwah menjadi pendiam selain banyak termenung.

"Pada masa sama, arwah abang juga sering kali menyatakan hasratnya untuk berpindah ke Kota Bharu selepas 13 tahun bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Machang," katanya.

Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Kasar pada 3 petang semalam dan solat jenazah diimamkan oleh Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Berita berkaitan: Ibu ditidurkan, belum tahu anak maut kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 12:41 PM